fbpx

Terengganu diramal kembali terima hujan esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU – Sebahagian besar Terengganu yang kekeringan sejak hampir dua minggu lalu diramal kembali menerima hujan dalam tempoh tiga hari bermula esok.

Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Terengganu, Rosli Zakaria berkata, hujan renyai dan sederhana tersebut dijangka melanda beberapa lokasi di negeri ini khususnya Dungun dan Kemaman sehingga Ahad ini.

“Taburan hujan itu dijangka turun terutama di kedua-dua daerah terbabit terutama pada waktu pagi.

“Ia sekaligus menurunkan sedikit suhu purata negeri ini kepada bawah 36 darjah Celcius berbanding 37.5 darjah Celcius ketika ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Rosli berkata, begitupun, suhu harian Terengganu diramal kembali meningkat mulai Isnin ini dan ia dijangka berlarutan selama tiga hari berturut-turut sehingga 15 Mei ini.

Dalam perkembangan sama, Rosli berkata, pada waktu ini, lapan lokasi di Terengganu merekodkan suhu harian melebihi 35 darjah Celcius selama tiga hari berturut-turut sejak 2 Mei lalu.

Beliau memberitahu, lokasi itu ialah Felda Tenang, Besut; Felda Belara, Kuala Terengganu; Felda Chalok, Setiu dan Bukit Besi, Dungun.

“Selain itu, Gong Kedak, Besut; Jerangau, Dungun; Pengkalan Gawi, Hulu Terengganu dan Institut Pertanian Besut juga mencatatkan suhu melebihi 35 darjah Celcius,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI