fbpx

Benzoil Peroksida dalam tepung sah selamat, boleh diguna dalam makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Penggunaan benzoil peroksida dinilai dan disahkan selamat untuk digunakan dalam makanan dalam jumlah tertentu di Malaysia dan luar negara.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan memaklumkan, ia diperakukan oleh badan penilai antarabangsa iaitu Joint FAO/WHO Expert Comittee on Food Additives (JECFA).

Jelasnya, di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983 juga membenarkan penggunaan benzoil peroksida sebagai kondisioner makanan di bawah aditif makanan dalam tepung pada kadar tidak melebihi 50mg/kg.

“Codex Alimentarius Commission (CAC), iaitu badan antarabangsa yang ditubuhkan di bawah Joint FAO/WHO Food Standards Programme pula membenarkan penggunaan benzoil peroksida dalam tepung gandum pada kadar tidak melebihi 60mg/kg.

“KKM sentiasa bersedia dan akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat bukti-bukti saintifik terkini daripada badan-badan antarabangsa seperi Codex dan JECFA yang membuktikan mana-mana bahan makanan adalah berbahaya kepada kesihatan,” katanya di sini hari ini.

Penjelasan itu dibuat sebagai mengambil maklum isu yang ditularkan semula di media sosial berkaitan penggunaan benzoil peroksida dalam tepung gandum yang didakwa boleh menjejaskan kesihatan.

KKM juga telah menjelaskan perkara ini dalam dua kenyataan media yang dikeluarkan sebelum ini pada tahun 2012 dan 2017 bagi mengelakkan kekeliruan awam.

Menurut KKM, pihaknya sentiasa melaksanakan pemantauan ke atas pelbagai jenama tepung di pasaran bagi memastikan ia mengandungi benzoil peroksida dalam kadar yang dibenarkan.

Setakat ini, katanya, tiada mana-mana jenama tepung di pasaran yang mengandungi benzoil peroksida melebihi paras yang dibenarkan di bawah undang-undang.

“KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna.

“Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri terdekat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI