fbpx

1MDB: Najib percaya Blackstone dimiliki, dikawal kerajaan Arab Saudi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib (kanan) hadir bagi sambung perbicaraan kes 1MBD di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh FARIZ RUSADIO/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, Datuk Seri Najib Tun Razak mempercayai bahawa syarikat pelaburan Blackstone Asia Real Estate Partners Ltd, dimiliki atau dikawal Raja Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saudi dan kerajaan Arab Saudi.

Ia apabila Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nur Aida Arifin dalam perbicaraan hari ini, bersetuju dengan cadangan peguam bela Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin bahawa Najib memaklumkan perkara itu kepada pegawai perakam SPRM ketika disoal siasat.

Blackstone dikatakan ditubuhkan oleh perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, iaitu nama sama dengan firma ekuiti hartanah persendirian Blackstone Real Estate dan sengaja menggunakan nama itu bagi menyerupai syarikat yang sudah matang dalam konspirasi mengaut berjuta-juta dolar daripada 1MDB.

Wan Azwan Aiman: Semasa pegawai SPRM mengambil kenyataan, Najib telah pecaya bahawa Blackstone telah dimiliki atau dikawal oleh Allahyarham Raja Abdullah dan kerajaan Arab Saudi?

Nur Aida: Ya, betul.

Wan Azwan Aiman: Adakah puan bersetuju bahawa, semasa rakaman percakapan direkodkan oleh SPRM, Najib tidak pernah dirujuk apa-apa dokumen bahawa Eric Tan adalah penerima manfaat bagi Blackstone?

Nur Aida: Setuju.

Saksi pendakwaan ke-49 itu juga bersetuju bahawa Najib ketika dirakamkan percakapan, tidak ditunjukkan dengan dokumen bagi menunjukkan sekutu Jho Low, iaitu Eric Tan Kim Loong adalah pemilik benefiasiari (pihak berkepentingan atau pemilik sebenar) Blackstone.

Sebelum ini, pada prosiding terdahulu mahkamah telah mendengar keterangan pakar pemulihan aset luar pesisir, Angela Barkhouse yang memberitahu, bahawa Najib menerima wang AS$120 juta dalam akaun bank peribadinya daripada Blackstone Asia.

Angela berkata, dana yang diterima itu membabitkan transaksi AS$70 juta pada 29 Disember 2011, dan masing-masing AS$25 juta pada 12 Mac 2012 dan 22 Mei 2012.

Sementara Penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM), Adam Ariff Mohd. Roslan, pula sebelum ini memberitahu mahkamah, akaun peribadi Najib menerima kemasukan AS$30 juta (RM90.9 juta) daripada Blackstone antara 30 Oktober dan 19 November 2012.

Terdahulu, hari ini buat pertama kalinya prosiding itu berlangsung di Mahkamah Tinggi pada hari Sabtu.

Ini merupakan perbicaraan kali pertama dibuat pada hujung minggu yang mana kes bicara tersebut berlangsung pukul 8.30 pagi. Najib tiba di mahkamah diiringi pegawai dari penjara.

Perbicaraan kes berkenaan bermula pada Ogos 2019 di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini hakim Mahkamah Rayuan).

Untuk rekod, tarikh-tarikh hari Sabtu yang telah ditetapkan ialah 27 April, 4 dan 25 Mei serta 1, 8 dan 15 Jun sebagai tarikh tambahan untuk mendengar kes terbabit.

Najib sedang dibicarakan atas empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan bersambung lagi 30 April ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI