fbpx

Majuperak, syarikat Jepun teroka tenaga solar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SYED Agil bertukar dokumen MoU dengan Rei Ushikubo (kiri) sambil disaksikan oleh Saarani (tiga dari kanan) bersama pegawai daripada kedua-dua belah pihak.

IPOH – Majuperak Holdings Bhd. (MHB) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat Jepun, Shizen International Inc. bagi meneroka potensi projek solar di Perak.

Menurut MHB, dua matlamat MoU itu adalah bagi mengkaji pelaksanaan pembangunan projek fotovoltan solar yang dibina atas darat dan menilai potensi kawasan air bersesuaian untuk projek fotovoltan terapung di Perak.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MHB, Syed Agil Syed Hashim berkata, kerjasama itu membuka peluang besar bagi Perak kerana menganggap Shizen sebagai rakan kongsi yang ideal berdasarkan kepakaran dan rekod pencapaian.

“Kerjasama ini menjanjikan kemajuan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan membawa manfaat kepada penduduk tempatan, termasuk peluang pekerjaan, perkongsian teknologi dan kemakmuran ekonomi,” katanya.

Shizen International yang merupakan anak syarikat Shizen Energy Inc., terlibat aktif dalam pembangunan serta pengendalian kemudahan tenaga boleh diperbaharui di seluruh Asia, Oceania, dan Amerika Latin.

Penglibatan itu merangkumi loji jana kuasa angin dan solar. Sehingga kini Shizen Energy Group berjaya membangunkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui sebanyak 1,321.7 megawatt di Jepun dan peringkat antarabangsa.

MoU tersebut telah ditandatangani oleh Syed Agil dan Ketua Pegawai Eksekutif Shizen International, Rei Ushikubo dalam satu majlis yang disaksikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Turut bersama menyaksikan tandatangan MoU itu ialah Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) yang juga Pengerusi Eksekutif MHB, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak serta Pegawai Eksekutif Kumpulan Shizen Energy bertanggungjawab untuk Pelaburan & Strategi, Oliver Senter.

Kerjasama itu juga membabitkan kajian boleh laksana permulaan dan usaha sama untuk meneroka peluang pelaburan, jelas MHB.

Menurut syarikat itu lagi, syarikat Jepun itu juga berpangkalan di Fukuoka City yang mempunyai hubungan sebagai bandar kembar dengan Ipoh.

“Sejak menandatangani perjanjian bandar kembar pada 1989, kedua-dua pihak giat melaksanakan program pertukaran pendidikan dan kebudayaan,” menurut syarikat Perak itu.

Mengulas tentang usaha tersebut, Saarani berkata, langkah itu sejajar dengan dasar mesra pelabur kerajaan negeri dan wawasan untuk mempelopori teknologi hijau dan inovasi di bawah rancangan pembangunan Perak Sejahtera 2030.

“Kerjasama ini sejajar dengan kesungguhan Perak untuk membangunkan teknologi hijau dan usaha untuk menarik pelaburan menerusi Flagship ke-12 Pelan Perak Sejahtera 2030 iaitu Sumber Air dan Sumber Tenaga Boleh Baharu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI