fbpx
MOLINA memastikan kemenangan menerusi strategi yang dilakukan sepanjang perlumbaan. - MMTF CONSULTANT

Percaturan bijak julang Molina di Penang Skyrace

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Strategi larian yang dilakukan peserta Sepanyol, Nicolas Molina membuahkan hasil apabila muncul juara acara utama 30 kilometer (km) Pro Sky lelaki pada Kejohanan Penang Skyrace di Pulau Pinang Sabtu lalu.

Perlumbaan melibatkan laluan sejauh 30.31km dengan pendakian setinggi 2,354 meter (m) itu memerlukan peserta untuk mengharungi denai licin, rabung curam selain berdepan kelembapan yang mencabar.

Molina yang menamatkan larian menerusi catatan masa 3 jam 34 minit 10 saat itu menegaskan, dia mungkin tidak berjaya menjadi pemenang seandainya tidak memiliki percaturan bijak sepanjang perlumbaan.

“Fokus utama saya adalah disiplin dalam hidrasi serta pemakanan, terutamanya dalam dua jam pertama. Saya hanya sabar di awal perlumbaan sebelum berlari dengan gaya sendiri sebaik sahaja rentak sudah stabil,” katanya.

Menamatkan perlumbaan di belakang Molina adalah peserta dari Jepun, Shoma Otagiri yang melakukan catatan masa 3’41:58s diikuti pelari Iceland, Kristjan Chapman dengan catatan 3’55:18s.

NURMUKHAMETOVA (kanan) menewaskan Karanfiloska dengan perbezaan masa cukup tipis dalam saingan wanita. – MMTF CONSULTANT

Sementara itu, kategori wanita pula menyaksikan pelari Rusia, Svetlana Nurmukhametova muncul pemenang selepas melakukan catatan 4’09:37s menewaskan wakil Macedonia Utara, Elena Karanfiloska (4’09:40s) dan Vanja Cnops (4’26:10s) dari Belgium.

Pelari berpengalaman negara, Daved Simpat menamatkan acara 30km Pro Sky lelaki di tempat keenam dengan catatan 4’06:47s manakala Ang Yee Mei menjadi pelari wanita tempatan terbaik selepas mencatat 5’38:28s.

Sebagai rekod, kejohanan yang sudah memasuki edisi ketiga itu merupakan sebahagian daripada Siri Dunia Merrell Skyrunner dengan Pulau Pinang menjadi salah satu daripada 19 lokasi perlumbaan di seluruh dunia bagi saingan 2026.

Edisi kali ini juga boleh dianggap semakin mendapat perhatian peminat larian denai antarabangsa apabila berjaya menarik penyertaan lebih 1,500 peserta dari lebih 30 buah negara.

“Kami bangga melihat Pulau Pinang sekali lagi tersenarai dalam kalendar Merrell Skyrunner. Sambutan pelari antarabangsa sangat menggalakkan dan kami akan terus memperkenalkan denai Malaysia kepada dunia,” kata pengarah perlumbaan, Ahmad Azri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN