PETALING JAYA – Dua pelari denai negara, Daved Simpat dan Mohamad Amierul Amin Shamsul membuktikan atlet Malaysia mampu bersaing dengan pelari bertaraf dunia apabila mencipta kejayaan pada Cameron Ultra (Cultra) Presented by Asics 2026 di Cameron Highland, Pahang, Sabtu lalu.
Daved mencuri tumpuan apabila muncul juara keseluruhan lelaki bagi kategori MOSSY 100 kilometer (km) dengan catatan masa 14 jam 17 minit.
Katanya, kemenangan itu cukup bermakna buatnya selepas kembali bergelar juara dalam penyertaan kelima sejak 2018, selain menebus kekecewaan selepas gagal menamatkan perlumbaan pada dua edisi terdahulu.
“Saya sangat gembira dapat kembali menjadi juara. Saya hanya mengikut pelan yang telah disediakan oleh jurulatih dan pasukan. Syukur semuanya berjalan seperti dirancang,” katanya.
Sementara itu, Amierul Amin yang menduduki tempat kedua keseluruhan berjaya mendapatkan gelaran juara bagi kategori lelaki terbuka dengan catatan masa 14 jam 51 minit.
Menurut Amierul, kehadiran Yutaro di hadapannya menjadi pembakar semangat untuk terus menekan sehingga berjaya memintas pelari elit Jepun, Yutaro Yokouchi pada saat akhir.
“Bila saya nampak kelibat Yutaro di depan, dalam kepala saya cuma ada satu benda, nak pintas dia. Sebaik sahaja nampak dia, segala rasa penat dan sakit kaki terus hilang. Automatik saya dapat tenaga semula,” ujarnya.
Menurutnya, dia percaya kejayaan menewaskan pelari antarabangsa membuktikan atlet Malaysia mempunyai kualiti untuk bersaing di pentas dunia sekiranya mendapat sokongan menyeluruh dari segi latihan, pemakanan dan proses pemulihan.
“Kita sebenarnya mampu bersaing kalau ada perancangan dan latihan yang betul, di samping menjaga aspek nutrisi dan pemulihan,” ujarnya.
Dalam kategori wanita pula, pelari Filipina, Ritzi Atmor Ectin muncul juara keseluruhan dengan catatan masa 19 jam empat minit.
Ritzi mengakui laluan teknikal dan berlumpur di Cameron Highlands menjadi kelebihan buat dirinya, sekali gus membolehkannya mengatasi pencabar lain untuk muncul juara. – KOSMO! ONLINE














