SEREMBAN – Seramai 14 Ahli Dewan Undangan Negeri Sembilan (ADUN) Barisan Nasional hari ini mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Pengumuman itu sekali gus menarik sokongan terhadap kerajaan negeri sedia ada.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, keputusan itu dicapai secara sebulat suara oleh kesemua ADUN terlibat.
“Saya bersama 13 ADUN yang mewakili UMNO BN Negeri Sembilan sangat berdukacita dan kecewa dengan krisis yang berlaku.
“Sebagai sebuah parti yang sangat menghormati institusi adat dan perlembagaan, kami tidak akan sesekali mengambil pendirian untuk mencampuri urusan berkaitan,” katanya pada sidang akhbar di Wisma UMNO di sini hari ini.
Pada Pilihan Raya Negeri Ke-15, Barisan Nasional menang 14 kerusi diikuti Pakatan Harapan 17 kerusi, Perikatan Nasional lima kerusi. – KOSMO! ONLINE














