fbpx

Tragedi helikopter TLDM: Jenazah PW II Mohd Shahrizan selamat disemadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jenazah Shahrizan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 10 Lekir, malam ini.

LUMUT – Jenazah Pegawai Waran II, Mohd. Shahrizan Mohd. Termizi yang terkorban dalam nahas helikopter semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 10, Lekir, dekat sini, pada pukul 10 malam ini.

Jasad Allahyarham disemadikan mengikut Istiadat ketenteraan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada pukul 9.30 malam di hadapan lebih 500 ahli keluarga, rakan taulan dan penduduk setempat.

Keranda Allahyarham yang dibaluti Ensign Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diusung oleh lapan pegawai pasukan itu yang berpakaian istiadat dengan seorang pegawai berada di hadapan sebagai jurupandu.

Seramai 15 pegawai pasukan itu yang berpakaian istiadat dan lengkap bersenjata pula melakukan kawalan kehormat bagi mengiringi jenazah ke tanah perkuburan.

Ensign TLDM itu kemudian diserahkan oleh Komander Pangkalan Lumut, Markas Pangkalan TLDM Lumut, Laksamana Pertama Jamaludin Sairi kepada anak sulung arwah, Nurul Shahfiqah, 21, sebagai simbolik kepada penghargaan pengorbanan Allahyarham sepanjang berkhidmat dalam pasukan tersebut.

Bacaan talkin oleh Pegawai Agama Pangkalan TLDM Lumut, Mejar Hasrul Hashim manakala tahlil dan doa dilakukan Ketua Cawangan Agama KD Pelandok, TLDM Lumut, Leftenan Kolonel Wan Efendi Wan Mamat.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Noor Ain Mohammad Ariffin, 41, serta tiga anak iaitu Nurul Shahfiqah, 21; Nurul Shahfizah, 20; dan Muhammad Shahfirul Aizad, 15.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham tiba dari Ipoh ke rumah ibu bapanya di Taman Bunga Tanjung, Lekir, Batu 10, kira-kira pukul 7.40 malam.

Jenazah berada di situ kira-kira 40 minit bagi memberi peluang kepada ahli keluarga, saudara mara, sahabat handai dan penduduk setempat untuk memberi penghormatan terakhir dan mendoakan arwah.

Kemudian, jenazah dibawa ke Masjid Al-Khairiah, Batu 10, Lekir untuk urusan solat jenazah.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, kebajikan masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri, Datuk Salbiah Mohamed, mewakili kerajaan Perak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI