fbpx
BERDEPAN perang emosi tanpa kesudahan, pelakon Maya Karin semakin terbuka berkongsi masalah kesihatan mental yang dihadapi. Pintanya, usah bersembunyi atau malu sekiranya melalui situasi serupa.

Tak nak fikir, tak makan ubat – Maya Karin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERJUANG dengan masalah kesihatan mental bukan satu perkara remeh mana-mana individu yang melalui episod sama.

Peperangan emosi melawan kegelisahan, kebimbangan dan kemurungan me­lampau hadir tanpa dijangka.

Situasi sebegitulah juga dilalui Maya Karin. Bezanya, dia sentiasa bersedia dan memastikan diri tidak terlalu kepenatan bagi mengelak daripada diserang anxiety atau panic attack.

Sungguh. Biarpun berbunyi mudah, namun situasi tersebut tetap sukar meskipun sudah 10 tahun berdepan masalah sama. Setiap masa, dia tidak mahu merosakkan perjalanan jadual kerja dan orang sekeliling.

Sempat membuka cerita tentang keada­an semasa kesihatan mentalnya baru-baru ini, aktres berusia 44 tahun itu berkata, masalah kebimbangannya kini bukan berada dalam tahap serius, namun masih perlu berjaga-jaga.

MENGAKUI menghidap anxiety, Maya Karin bagaimanapun tidak pernah mengambil ubat-ubatan tertentu sebagai rawatan masalah yang dihadapinya.

Kesihatan mental

“Selalunya anxiety akan menyerang bila saya tidak cukup rehat atau tidak sempat makan. Cuma buat masa ini saya tidak mahu terlalu memikirkannya.

“Kali terakhir saya alami serangan yang teruk ketika terlibat sebagai penyampai anugerah pada Festival Filem Malaysia di Melaka pada Disember 2022.

“Selepas itu, jarang berlaku tetapi kalau diserang lagi, sebabnya mesti sama iaitu saya kurang rehat, tidak cukup tidur atau tidak makan,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Sepanjang mengawal tahap panic attack, bintang filem Pontianak Harum Sundal Malam itu bagaimanapun tidak pernah sama sekali mengambil sebarang ubat-ubatan, sebaliknya hanya perlukan rehat yang cukup.

Sedar masalah kesihatan mental antara penyakit moden dan popular ketika ini, Maya tetap berasakan masalah berkenaan tetap memerlukan pemahaman mendalam masyarakat.

Foto AFIQ RAZALI Ihsan ASTRO

“Isu kesihatan mental sudah semakin mendapat perhatian dan diterima dengan hati dan minda terbuka.

“Sebelum ini mungkin ramai anggap individu yang mempunyai masalah mental ini sebagai gila tetapi sekarang tiada lagi persepsi begitu,” ujarnya.

Baginya juga, individu yang mengalami masalah anxiety atau kebimbangan melam­pau tidak perlu berasa malu sehingga menyembunyikan masalah dihadapi kerana boleh mendatangkan kemudaratan terhadap kehidupan sendiri.

“Jangan malu dan terbukalah dengan diri sendiri. Kalau kita sorokkan masalah ini akan memberi lagi tekanan.

“Kita akan jadi lebih terbeban sehingga tidak mampu untuk berkomunikasi dengan orang lain,” kata pemilik nama penuh Maya Karin Roelcke itu.

KALI terakhir Maya diserang kegelisahan melampau adalah pada tahun 2022, ketika muncul di pentas Festival Filem Malaysia di Melaka.

The Experts

Dalam perkembangan lain, Maya teruja berkongsi tentang filem terbaharu lakonannya berjudul The Experts yang akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 23 Mei depan.

Tuturnya, filem tersebut menguji tahap kelincahan berbeza apabila memerlukannya menari tarian tango bersama Remy Ishak.

Dia dan Remy juga sanggup berkorban masa dan tenaga, menjalani latihan koreografi selama enam minggu bagi memastikan babak tarian tango tersebut kelihatan sempurna.

“Bayangkan kami masuk kelas tarian, buat latihan bersama-sama selama enam minggu.

“Tarian itu sangat sukar kerana saya dan Remy memang tidak ada asas tarian, kayu!

“Bagaimanapun, saya dan Remy gembira dengan hasilnya selepas penat lelah belajar menari.

“Tidak sangka, budak kampung dari Melaka itu pandai menari,” katanya tertawa kecil.

Selain Maya dan Remy, naskhah terbitan Astro Shawa arahan Andre Chiew dan Nizam Shah itu turut dibintangi Datuk Aaron Aziz, Mimi Lana, Ray, Tony Eusoff, Jau Iswazir serta tidak ketinggalan, Hasnul Rahmat.

BAKAL muncul, dalam filem The Experts bermula 23 Mei nanti, Maya menjangkakan babak tarian tango bersama Remy Ishak antara yang bakal mencuri perhatian peminat.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN