fbpx

Jangan khuatir ketiadaan Tze Yong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HANYA berbaki tiga hari lagi sebelum saingan Piala Thomas 2024 di Chengdu, China membuka tirai dengan skuad badminton negara dijadualkan turun menentang Hong Kong bagi aksi pertama Kumpulan D.

Ketiadaan perseorangan lelaki kedua terbaik negara, Ng Tze Yong pastinya menimbulkan sedikit keraguan dalam kalangan peminat sukan tanah air berhubung peluang Malaysia untuk merangkul gelaran pada kejohanan yang dianggap sebagai piala dunia badminton itu.

Tidak dinafikan, peluang Malaysia dilihat tipis untuk sekurang-kurangnya melangkah jauh pada edisi kali ini apabila hanya Lee Zii Jia menjadi taruhan terbaik bagi meraih mata dalam acara perseorangan lelaki.

Bukan mahu menidakkan kemampuan perseorangan lelaki lain namun itulah hakikat perlu diterima memandangkan negara-negara lain membariskan pemain-pemain terbaik mereka.

Menerusi ketiadaan Tze Yong, penulis menganggap barisan kejurulatihan negara sudah memiliki ramuan tersendiri bagi berdepan situasi tersebut, terutamanya apabila mereka menyenaraikan pemain beregu, Choong Hon Jian menggantikan Tze Yong.

Mungkin ramai beranggapan bahawa acara perseorangan lelaki mampu menjadi penentu dalam setiap perlawanan, namun perlu diingat bahawa Piala Thomas adalah kejohanan berpasukan, jadi sumbangan beregu juga amat ditagih.

Kita perlu akur bahawa barisan perseorangan Malaysia yang dibawa kali ini sebahagian besarnya berada di luar kelompok 20 terbaik dunia selain belum mampu untuk mencabar pemain-pemain terbaik dunia.

Bagaimanapun, semua pasukan perlu berwaspada dengan kemampuan skuad beregu negara yang terdiri daripada bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan naib juara Asia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani serta Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri.

Berbeza dengan barisan perseorangan, tiga beregu negara ini menunjukkan prestasi cukup baik sepanjang saingan 2024 apabila menampilkan aksi cukup konsisten selain memiliki kemampuan untuk melakar kejutan.

Pengarah Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menganggap barisan yang ada ketika ini adalah skuad terbaik selain menganggap Malaysia memiliki kelebihan dalam acara beregu.

“Selepas tahu kondisi Tze Yong, kita buat keputusan untuk gugurkan dia daripada skuad Piala Thomas.

“Keputusan menyenaraikan Hon Jian adalah selepas melihat apa yang pasukan perlukan, kita mahu berikan tambahan untuk beregu. Inilah pasukan terbaik yang kita ada dan kita miliki ramai pemain beregu yang bagus,” katanya.

Apa yang penting adalah Malaysia wajib menewaskan Hong Kong pada perlawanan pertama sebelum bertemu Denmark bagi mencerahkan peluang melangkah ke suku akhir.

Aaron menganggap Malaysia memiliki kelebihan berbanding Hong Kong dalam acara beregu, namun perlu berhati-hati dengan kemampuan pasukan itu menerusi perseorangan yang dilihat seimbang bagi kedua-dua belah pihak.

“Berhubung pertemuan dengan Hong Kong, bagi saya acara perseorangan 50-50 tetap kita ada kelebihan dalam beregu. Selain itu, kita juga akan turun dengan semangat dan pastinya tidak ada masalah buat Malaysia,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN