KUALA TERENGGANU – Isu kehilangan kad pengenalan diri (MyKad) menunjukkan trend membimbangkan apabila sebanyak 638,666 kes dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh dua tahun sejak 2022.
Daripada jumlah keseluruhan itu, 93.12 peratus atau bersamaan 594,736 kes adalah berpunca daripada kecuaian sendiri, manakala masing-masing 30,936 dan 12,894 kes disebabkan kecurian dan bencana alam.
Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Badrul Hisham Alias berkata, sebagai perbandingan sebanyak 269,274 kes kehilangan MyKad akibat kecuaian telah dilaporkan pada tahun 2022.
“Pada tahun 2023, jumlah kes yang sama akibat kecuaian menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak 270,068,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Beliau menambah, 55,504 permohonan gantian kad pengenalan disebabkan kecuaian pemegangnya pula sudah diterima JPN di seluruh negara dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini sahaja.
“Setakat Mac lalu, Selangor paling tinggi merekod kes kehilangan MyKad akibat kecuaian iaitu 8,482 kes diikuti Kuala Lumpur (7,472), Johor (7,247), Perak (4,541) dan Kedah (3,641).
“Sebahagian individu terbabit telah kehilangan kad pengenalan lebih daripada sekali, malah kes paling banyak kehilangan yang dilaporkan adalah sebanyak 11 kali,” katanya.
Badrul Hisham berkata, ramai yang memberi alasan remeh yang menjadi punca kehilangan MyKad iaitu tertinggal di atas motosikal dan sewaktu menginap di bilik hotel.
Tambah beliau, ramai juga yang memberi alasan terlupa mengambil semula kad pengenalan yang diserahkan kepada pengawal keselamatan untuk urusan memasuki premis seperti jabatan kerajaan.
“Ia tidak sepatutnya berlaku dan menunjukkan kesedaran menjaga MyKad sebagai dokumen kenegaraan paling penting amat rendah dalam kalangan rakyat negara ini.
“Mereka kurang cakna dan terdedah kepadag risiko menjadi mangsa sekiranya kad pengenalan yang hilang terbabit disalah guna untuk perbuatan jenayah dan penyamaran identiti oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.
Badrul Hisham berkata, pihaknya tidak menafikan kehilangan MyKad juga agak tinggi dalam kalangan gelandangan dan orang kurang upaya (OKU) terutama melibatkan masalah mental dan lembam.
Jelas beliau, sebahagian golongan terbabit dilaporkan kehilangan kad pengenalan lebih daripada lima kali.
“Kita faham limitasi mereka tetapi pada masa sama tidak boleh menafikan hak golongan itu daripada memegang MyKad masing-masing.
“Begitupun, kita bimbang golongan tersebut dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab untuk menyalah guna kad pengenalan mereka,” katanya.
Sehubungan itu, Badrul Hisham berkata, JPN akan melakukan siasatan kemungkinan kegiatan penjualan MyKad sekiranya menerima kes kehilangan kad pengenalan lebih daripada tiga kali.
Beliau berkata, buat masa ini, kehilangan MyKad akibat kecuaian buat pertama kali dikenakan denda RM100, kali kedua (RM300) dan ketiga ke atas pula RM1,000.
“Laporan polis juga perlu dilakukan bagi kehilangan kad pengenalan kali kedua dan ke atas.
“Begitupun, tiada bayaran dikenakan bagi permohonan kad pengenalan baharu bagi kes kecurian atau bencana seperti banjir dan kebakaran,” katanya.
Badrul Hisham berkata, skuad JPN juga akan turun padang membantu mangsa bencana terkesan untuk memproses kad pengenalan baharu menerusi program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar).
Jelas beliau, antara program Mekar terbaharu dilaksanakan pada bulan lalu melibatkan penduduk Kampung Pasir Raja, Hulu Dungun yang terjejas dengan banjir besar pada akhir Januari lalu. -KOSMO! ONLINE














