fbpx

Rumah dipecah masuk, usahawan tudung rugi hampir RM5,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan sebuah bilik berselerak selepas digeledah pencuri yang memecah masuk rumah mangsa di Kampung Kubang Kerian, Bukit Panau di Tanah Merah kelmarin.

TANAH MERAH – Seorang usahawan tudung mengalami kerugian hampir RM5,000 apabila barangan berharga termasuk emas dan wang tunai dibawa lari pencuri selepas rumahnya di Kampung Kubang Kerian, Bukit Panau di sini kelmarin dipecah masuk.

Kejadian pukul 9.30 malam itu disedari mangsa, Mohamad Izat Mustaffa,32, sebaik sahaja pulang dari pejabat yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya.

Mohamad Izat berkata, sebelum kejadian, dia bersama isteri dan anak-anaknya telah keluar dari rumah kira-kira pukul 8.30 malam untuk ke pejabat bagi menyelesaikan beberapa urusan.

“Sebaik tiba di rumah kira-kira sejam kemudian, saya terkedu apabila melihat keadaan rumah yang berselerak dan pintu bilik terbuka.

“Pada masa sama, saya terdengar bunyi yang mencurigakan sebelum bertindak membawa anak-anak keluar dan meminta pertolongan daripada bapa saudara di sebelah rumah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamad Izat memberitahu, selepas memeriksa bahagian rumah bersama bapa saudaranya, dia mendapati suspek sudah melarikan diri.

“Suspek dipercayai masuk melalui bilik tidur berdasarkan kesan umpilan selain hanya kawasan itu sahaja tidak mempunyai rakaman televisyen litar tertutup (CCTV)

”Pemeriksaan di kawasan semak di sebelah rumah juga mendapati terdapat kesan yang dilalui oleh suspek,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Mohd. Razi Rosli berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu daripada mangsa kira-kira pukul 9.30 malam dan polis kini sedang giat memburu suspek yang terlibat.

Menurutnya, kejadian itu disedari selepas mangsa mendapati tingkap di bahagian pintu belakang rumahnya terbuka dan terdapat kesan umpilan pada bahagian tersebut.

“Pemeriksaan mendapati, suspek melarikan wang tunai bernilai hampir RM1,000, dua bentuk cincin emas, satu ketul emas seberat 1 gram, sebuah jam tangan berjenama dan kunci rumah.

“Jumlah anggaran kerugian yang dialami mangsa dianggarkan kira-kira RM5,000,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI