fbpx

Beras dan barangan dapur tercemar milik bekas Ahli Parlimen Kuala Krau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan gambar beras, tepung serta beberapa barangan dapur lain yang dibuang di tempat pembuangan sampah.

TEMERLOH – Beras dan barangan dapur yang dibuang di tempat tepi jalan di Rumpun Makmur adalah milik peribadi bekas Ahli Parlimen Kuala Krau Datuk Seri Ismail Mohamed Said yang disimpan bagi memenuhi keperluan orang ramai di kawasan berkenaan.

Ismail berkata barangan berkenaan bagaimanapun terpaksa dilupuskan kerana telah rosak dan tercemar serta tidak lagi sesuai untuk diagihkan kepada orang ramai.

“Pada 5 April 2024 saya telah menerima aduan daripada jiran yang menyatakan terdapat bau busuk di tempat stor simpanan barangan dapur tersebut dan hasil siasatan di stor simpanan ini mendapati terdapat beberapa ekor bangkai tikus dan beras serta barangan dapur ini telah dicemari bubuk.

“Barangan lain juga tidak lagi sesuai untuk diagihkan kepada orang ramai kerana tercemar dan sebahagian daripada beras ini telah diserahkan kepada penternak ayam dan itik di kawasan sekitar manakala sebahagian lagi telah dilupuskan,”katanya di sini hari ini.

Semalam tular dalam media sosial pembuangan beras dan barangan dapur di tepi jalan Pintasan Rumpun Makmur-Gunung Senyum yang menggemparkan penduduk sekitar dan menimbulkan pelbagai reaksi daripada netizen.

Menurut Ismail beras dan barangan dapur ini merupakan stok simpanan yang sentiasa disediakan bagi memenuhi permintaan orang ramai ketika beliau menjadi Ahli Parlimen Kuala Krau.

Katanya, pembelian barangan dapur ini tidak melibatkan peruntukan Kerajaan Persekutuan atau peruntukan Kerajaan Negeri Pahang serta tidak melibatkan peruntukan barangan dalam tempoh Covid-19 atau persiapan pangkalan hadapan menghadapi banjir,

“Barangan dapur ini disediakan menggunakan peruntukan peribadi, sebelum tempoh Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada 2022 dan umum mengetahui bahawa dalam tempoh berkempen tiada sebarang pemberian barangan kepada orang awam dibenarkan.

“Saya mengambil tanggungjawab dan sangat mengesali perkara ini dan memohon maaf kepada semua pihak atas kekhilafan dalam memantau cara pelupusan barangan dapur berkenaan,”katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI