fbpx

Tarif air Perak naik 5 sen, mula 1 Mei

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

IPOH – Tarif baharu air bagi penggunaan kategori domestik di Perak dinaikkan lima sen kepada 75 sen setiap meter padu berkuatkuasa 1 Mei 2024, berbanding 70 sen ketika ini.

Menurut Pejabat Menteri Besar Perak, kenaikan itu melibatkan penggunaan sehingga 20 meter padu sebulan manakala caj bagi penggunaan 21 hingga 35 meter padu ditetapkan pada kadar RM1.08, berbanding RM1.03 sebelum ini.

Pada masa sama, bagi mengurangkan kesan perubahan tarif kepada pengguna domestik, Lembaga Air Perak (LAP) memberikan rebat pada kadar 40 sen setiap meter padu bagi penggunaan sehingga 10 meter padu pertama sebulan, iaitu bersamaan RM4 sebulan.

Dengan rebat berkenaan katanya, kadar purata tarif bagi penggunaan sehingga 20 meter padu dapat dikurangkan kepada hanya 55 sen bagi setiap meter padu berbanding 75 sen jika tanpa rebat.

“Dengan kenaikan lima sen, penetapan kadar tarif air baharu air di Perak adalah jauh lebih rendah berbanding kadar purata 22 sen yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“Caj minimum bagi penggunaan domestik pula adalah RM7.50 sebelum mengambil kira pemberian rebat. Setelah mengambil kira rebat, caj minimum adalah RM3.50 berbanding kadar sekarang iaitu RM3,” menurut Pejabat Menteri Besar Perak, hari ini.

Beberapa negeri sebelum ini mengumumkan kadar baharu tarif air susulan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri yang meluluskan Perlaksanaan Pelarasan Kadar Bekalan Air untuk kategori domestik dan Pengenaan Caj Elektrik berkuat kuasa pada 1 Februari lalu.

Jelas pejabat menteri besar lagi, penetapan tarif baharu berkenaan bagaimanapun tidak menjejaskan program air percuma 25 meter padu sebulan untuk golongan sasar dan program air percuma 20 meter padu untuk rumah ibadat.

Tambahnya, untuk pengguna bukan domestik pula, kenaikan adalah RM0.05 bagi setiap meter padu penggunaan dan penetapan baharu tarif air itu adalah yang pertama selepas 18 tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI