fbpx
POSTER mengenai pertandingan pakaian beragam janda Temerloh yang tular sehingga mendapat sambutan seluruh negara.

‘Mama pun janda, tetapi mama tidak terasa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TEMERLOH – Pertandingan Pakaian Beragam Janda-Janda Temerloh yang dijadualkan berlangsung Ahad ini di Taman Tasik Chatin, Mentakab terpaksa dibatalkan selepas program ber­kenaan tular dan mendapat kecaman daripada orang ramai.

Penganjur dikenali Mama Zana berkata, program yang pertama kali dianjurkan itu sebenarnya hanya sekadar suka-suka meraikan sambutan hari raya, namun sebaliknya berlaku apabila ia menjadi tular sehingga mendapat sambutan luar biasa.

Menurutnya, program itu mendapat perhatian ekoran poster memaparkan perkataan janda yang mungkin sensitif bagi sesetengah pihak sehingga me­nimbulkan tafsiran yang berbeza sedangkan ia hanyalah program jamuan hari raya.

Malah, katanya, pertandingan itu tidak memerlukan peserta berjalan memperagakan pakaian seperti model.

“Mama bukan hendak mencari publisiti, (program) sekadar jamuan raya dan poster berke­naan bukan mama yang buat. Ia (poster) diletakkan dalam grup WhatsApp kami seramai 127 orang bagi gempak group sahaja.

“Pertandingan itu juga bukanlah seperti fashion show sebaliknya peserta hanya memakai pakaian raya yang sopan serta menutup aurat, bukan macam model atas pentas,” katanya.

Mengulas mengenai kecaman ramai Mama Zana berkata, dia tidak menyalahkan sesiapa atas penularan poster berkenaan sehingga terpaksa mengambil keputusan membatalkan majlis itu bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini.

Jelasnya, program berkenaan sebenarnya tidak melanggar batas susila agama, malah semua yang hadir memakai pakaian sopan untuk berhari raya.

“Mama pun janda tetapi mama tidak sensitif dengan perkataan itu (janda), malah mama bangga kerana bukan semua Allah pilih menjadi janda, hanya yang kuat dan tabah sahaja,” ujarnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai sambutan orang ramai susulan penularan poster itu, Mama Zana berkata, dia tidak putus-putus menerima panggilan telefon daripada pelbagai pihak yang bertanyakan mengenai program tersebut.

“Saya menerima panggilan daripada pelbagai pihak di seluruh negara bertanyakan mengenai program berkenaan, malah ada yang mahukan pegesahan kerana mereka mahu bersedia termasuk ­menempah homestay.

“Jadi saya memang tidak mampu mengendalikan program ini sekiranya terlalu banyak penyertaan dan kehadiran terlalu ramai orang,” ujarnya.

Menerusi poster yang tular di media sosial, program janda berkenaan dijadual diadakan pada Ahad ini di Taman Tasik Chatin Mentakab di sini.

Penyertaan pertandingan itu dibuka kepada wanita berusia 20 tahun ke atas secara percuma dan walk-in.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN