KLIA digemparkan dengan kes tembakan di balai ketibaan, apabila mengenai seorang pengawal peribadi pada awal pagi Ahad lalu.

Kes tembak KLIA: Pistol dibeli di Siam harga RM5,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang disyaki membeli sepucuk pistol jenis Glock 19 Austria di Thailand dengan harga RM5,000.

Sumber berkata, siasatan mendapati senjata api semi automatik tersebut dibeli di negara jiran pada harga RM5,000.

“Senjata ini dibeli di negara jiran. Ia merupakan senjata baharu dan polis percaya sebelum kejadian tembakan di KLIA1, pistol ini masih belum digunakan.

“Jadi kita percaya senjata yang dirampas ini digunakan buat kali pertama dalam kejadian di pintu masuk utama negara tersebut pada Ahad lalu,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Jelas sumber, pihaknya kini sedang menjalankan pemeriksaan lanjut untuk menentusahkan senjata itu digunakan dalam kejadian tersebut.

Tambah sumber, setakat ini pihaknya masih menjalankan siasatan bagaimana lelaki tersebut menyeludup masuk senjata ber­kenaan ke dalam negara ini sama ada melalui pengkalan ­haram yang terdapat di sempadan ne­geri Kelantan atau cara lain.

Pada Isnin lalu Kosmo! melaporkan, Hafizul Harawi, 38, bergelut dengan pasukan Bahagian Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan ketika cuba ditahan di hadapan sebuah hospital swasta di Jalan Bayam, Kota Bharu di Kelantan kira-kira pukul 3 petang.

Kelmarin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, polis merampas sepucuk pistol jenis Glock 19 Austria bersama 33 butir peluru hidup bersama lelaki tersebut.

Ujar Mohd. Shuhaily, selain itu pihaknya turut merampas mercun bola, enam telefon bimbit, pasport, empat kad pengenalan milik orang lain, sejumlah wang tunai dalam mata wang Riyal dan Baht selain sebuah kereta Honda Civic.

Hafizul direman selama tujuh hari di Mahkamah Majistret Kota Bharu mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun dan enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.20 pagi pada Ahad lalu, seorang lelaki melepaskan tembakan ke arah sasaran utama yang juga merupakan isterinya berusia 38 tahun ketika mangsa menunggu kepulangan jemaah umrah di Balai Ketibaan KLIA.

Tembakan tersebut berjaya dihalang oleh pengawal peribadi mangsa, Muhammad Nur Ha­dith Zaini, 38, atau lebih dikenali dengan panggilan Along sehingga mengakibatkan mangsa cedera parah di bahagian perut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN