SEWAKTU pasangan kembar Siam dua kepala dan satu badan itu lahir pada 7 Mac 1990, ibu bapa mereka telah diberitahu oleh pakar perubatan bahawa kedua-dua bayi berkenaan tidak akan hidup lama.
Bagaimanapun, kuasa Tuhan telah mengatasi segalanya. Adik-beradik kembar Siam, Abigail Loraine Hensel dan Brittany Lee Hensel, 34, dari Minnesota, Amerika Syarikat (AS) hidup sihat sehingga dewasa dan menjalani kehidupan seperti manusia normal.
Mereka telah menjalani kehidupan yang luar biasa sejak menjadi perhatian dunia pada tahun 1996 selepas muncul dalam rancangan temu bual terkemuka AS, The Oprah Winfrey Show dan penghias muka depan majalah, Life.
Kini, menerusi laporan portal Today, salah seorang pasangan kembar Siam itu, Abbigail atau Abby telah berkahwin secara rahsia pada tahun 2021 dengan seorang jururawat yang juga veteran tentera, Josh Bowling.
Pasangan Hensel merupakan antara kelahiran kembar Siam yang paling jarang berlaku.
Ia berlaku hasil daripada telur tunggal yang disenyawakan dan gagal dipisahkan sepenuhnya dalam rahim.
Mereka mempunyai dua tulang belakang (yang bercantum di pelvis), dua jantung, dua esofagus, dua perut, tiga buah pinggang, dua pundi hempedu, empat paru-paru (dua daripadanya bercantum).
Mereka juga berkongsi satu hati, satu tulang rusuk, sistem peredaran darah dan sistem saraf yang sama.
Dari pinggang ke bawah, semua organ termasuk usus, pundi kencing dan organ pembiakan juga dikongsi.
Walaupun Brittany (kembar kiri) tidak dapat merasakan apa-apa di sebelah kanan badan dan begitu juga Abby tidak dapat merasakan apa-apa di kirinya, namun anggota badan mereka bergerak seolah-olah diselaraskan oleh seorang individu.
Hanya satu set kembar Siam dalam setiap 40,000 kelahiran akan berhubung antara satu sama lain. Namun, hanya satu peratus daripada mereka bertahan selepas tahun pertama.
Semasa membesar, pasangan itu mempunyai personaliti dan cita rasa yang sangat berbeza.
Abby merupakan seorang yang bersemangat, degil, suka jus oren untuk sarapan pagi, manakala Brittany seorang gadis ceria dan gemar minum susu.
Mereka juga mengejutkan doktor dengan koordinasi berpasukan yang menakjubkan semasa bermain piano.
Abby mengambil bahagian tangan kanan dan Brittany di sebelah kiri. Mereka meminati sukan seperti boling, bola tampar, berbasikal, bola lisut dan renang.
Ia bukan sesuatu yang luar biasa bagi pasangan kembar Siam itu untuk keluar memakai baju direka khas dengan dua garis leher dan kasut berbeza pada setiap kaki.
Terdahulu, ibu mereka, Patty yang juga seorang jururawat berdaftar berpendapat, kondisi anaknya mungkin akan membingungkan segelintir pihak.

“Saya tidak tahu apa yang akan berlaku jika mereka ditahan polis kerana memandu melebihi had laju.
“Adakah mereka masing-masing akan mendapat saman atau hanya Abby kerana kakinya di atas pemecut?” katanya dalam satu temu bual dengan media AS.
Menurut Patty, dia dan suaminya, Mike tidak pernah sesekali mahu memisahkan pasangan kembar itu.
Ini kerana, mereka takut salah seorang atau kedua-duanya akan mati atau mengalami kecacatan teruk.
Pemisahan juga akan menyebabkan kualiti hidup mereka terjejas dan tidak dapat lagi menikmati semua aktiviti disukai.
Jika itu terjadi mereka masing-masing bakal mempunyai satu tangan dan satu kaki serta hanya menggunakan kerusi roda.
Menyorot kembali kisah silam, Patty sebenarnya tidak tahu dia mengandung anak kembar sehingga kelahiran pasangan itu di hospital tempatan yang juga tempat dia bekerja.
“Pakar pediatrik memaklumkan bahawa bayi saya bercantum, namun mereka mempunyai dua kepala.
“Pada mulanya, imbasan kandungan agak samar-samar. Selepas kelahiran terbukti ia tepat,” katanya pada 2006.
Meskipun dilahirkan kembar Siam, pasangan itu masih menganggap anak mereka sempurna dan cantik.
“Saya mencium Abby dan kemudian Brittany dan memberi mereka pelukan.
“Itulah yang saya lakukan setiap kali menjemput mereka dari sekolah. Dua ciuman dan satu pelukan untuk kanak-kanak tercantik di dunia,” kata Patty.
Walaupun berhadapan dengan keadaan fizikal yang mencabar, namun Abby dan Brittany sentiasa mengutamakan pendidikan semasa membesar.
Pasangan kembar itu lulus di sekolah menengah pada 2008, sebelum memutuskan untuk meneruskan perjalanan akademik dengan mendaftar masuk ke universiti pada tahun sama.
Memilih sekolah berdekatan dengan rumah, Abby dan Brittany memilih Universiti Bethel yang terletak di Arden Hills, Minnesota.
Apabila memilih jurusan, pasangan itu meneroka semua pilihan sebelum memutuskan untuk meneruskan pengajian dalam bidang pendidikan.
Menerusi satu temu bual dalam rancangan televisyen, Abby dan Brittany memberitahu, membuat keputusan dalam hal ehwal pendidikan bukanlah sesuatu yang mudah.
“Pada mulanya, kami berfikir untuk memilih jurusan berbeza. Namun, hal itu akan menjadikan keadaan lebih sulit kerana kerja kursus dan jadual kelas berbeza.
“Selepas berbincang dan berkompromi tentang masa depan, kami memilih mengambil jurusan yang sama,” ujar mereka.
Ia merupakan keputusan yang membuahkan hasil. Kini, Abby dan Brittany bekerja sebagai guru di Sunnyside Elementary, New Brighton, Minnesota.
Selepas masa depan dalam kerjaya ditentukan, terdapat satu perkara yang menjadi perhatian iaitu bagaimana pula tentang kehidupan sosial dan perkahwinan.
Semasa zaman kanak-kanak, bapa mereka, Mike yakin bahawa anak gadisnya akan berkahwin pada masa akan datang.
Keyakinan bapa mereka menjadi kenyataan selepas Abby dilaporkan telah menamatkan zaman bujangnya secara rahsia tiga tahun lalu.
Hubungan Abby dengan Josh yang merupakan bapa kepada seorang anak telah menjadi perhatian masyarakat.
Kini, pasangan kembar itu menjalani kehidupan lebih tenang sejak 10 tahun lalu.
Di akaun TikTok @abbyandbrittanyhensel, terdapat klip video yang memaparkan perkahwinan Abby. Dalam akaun Facebook Britt And Abby turut memaparkan gambar pasangan bahagia itu.
Majlis perkahwinan yang dilaporkan berlaku pada 2021 itu memperlihatkan pasangan kembar berkenaan memakai gaun pengantin tanpa lengan dengan perincian trim renda, manakala pengantin lelaki memakai sut kelabu.
Sebuah video dirakam oleh salah seorang tetamu perkahwinan Abby yang dikongsi di media sosial menunjukkan pasangan kembar Siam berkenaan dan pengantin lelaki menari semasa majlis bahagia mereka.














