fbpx

Taasub jika berlebihan boikot restoran, premis perniagaan – Mufti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Salim.

GEORGE TOWN – Tindakan individu atau pihak yang memboikot mana-mana restoran, syarikat atau premis perniagaan secara berlebihan disifatkan sebagai taasub dan dengki sehingga boleh merosakkan agama serta akhlak.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, pada prinsipnya tindakan memboikot mana-mana premis yang didapati melakukan penghinaan terhadap agama Islam atau umatnya boleh dianggap wajar.

Namun katanya, tindakan itu perlu dilakukan sekadar diperlukan sahaja atau secara sederhana sebagai menunjukkan tanda protes.

“Boikot yang melampau tidak patut digalakkan kerana ia mencerminkan sifat taasub dan kedengkian yang merosakkan agama dan akhlak.

“Agama Islam tidak suka umatnya bersikap ekstrim dan taksub walaupun atas nama agama. Sikap sedemikian lazimnya didorong oleh kejahilan serta fikiran tertutup golongan yang tidak boleh bertolak ansur terhadap orang lain, pihak lain yang berbeza pandangan dan kepercayaan dengannya.

“Dalam dunia global masa kini, kehidupan bersama antara sesama warganegara yang berbeza etnik, agama dan budaya merupakan realiti yang mesti diakui. Di sinilah persefahaman dan toleransi amat mustahak,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai hantaran di media sosial yang menyamakan pelanggan ibarat anjing dan khinzir apabila menikmati makanan di sebuah restoran makanan segera.

Menurut beliau, perlu disedari bahawa di dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, kadangkala berlaku kejadian yang mengguris atau menyinggung perasaan mana-mana pihak sama ada disengajakan atau tidak.

“Maka di sinilah kita memerlukan kewarasan dan kebijaksanaan dalam mengurus kepelbagaian supaya tidak menambahkan lagi ketegangan yang boleh membawa kepada pergaduhan yang merugikan semua pihak.

“Dilihat daripada perspektif Islam, kepelbagaian adalah sesuatu yang lumrah. Ia adalah kehendak Allah SWT supaya manusia dapat berkenal-kenalan dan saling memanfaatkan kelebihan yang wujud dalam setiap bangsa dan kabilah.

“Dengan demikian kelainan dan kepelbagaian menjadi faktor positif yang menguntungkan, bukan sebaliknya dijadikan sebab untuk saling membenci dan bermusuh-musuhan,”

Justeru, beliau menyeru seluruh rakyat di negara ini supaya sentiasa bekerjasama dalam memupuk dan menyuburkan lagi perpaduan serta toleransi antara satu sama lain demi keamanan dan kesejahteraan negara.

“Jika berlaku kejadian yang tidak diingini atau tidak disenangi maka hendaklah ditangani dengan berhikmah dan bijaksana melalui rundingan, bukan dengan memberi reaksi yang melampau atau tidak rasional,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI