fbpx

Peniaga buat hantaran jelik terhadap Raja Perlis jalani penilaian kesihatan mental

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hasbullah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kangar atas pertuduhan membuat hantaran jelik terhadap Raja Perlis di Facebook pada bulan lalu.

KANGAR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan seorang peniaga ketam yang dituduh membuat hantaran jelik terhadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Facebook dirujuk ke hospital untuk menilai tahap kesihatan mentalnya.

Hakim Musyiri Peet memerintahkan demikian ke atas tertuduh, Hasbullah Mohammad, 41, susulan beberapa dokumen berkaitan kesihatan mentalnya dikemukakan pada prosiding pertuduhan, hari ini.

Tertuduh diperintah menjalani penilaian itu selama sebulan mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Terdahulu, Hasbullah minta dibicarakan sebaik pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Musyiri.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik berkaitan Raja Perlis menerusi Facebook Muhammad Muhammad (Ku Tehh Ke Muhammad) dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain kira-kira pukul 3.26 pagi, 6 Mac lalu yang dibaca di Taman Fauziah, di sini kira-kira pukul 7 pagi, 6 Mac lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan hendaklah didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas sabitan.

Terdahulu, ketika prosiding, Pengarah Pendakwaan negeri, Muhamad Asyraf Md Kamal memohon mahkamah tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh atas alasan kesalahan dilakukan adalah serius terutama apabila ia melibatkan isu agama, bangsa dan institusi raja (3R) selain hukuman yang tinggi.

Katanya, alasan lain adalah tiga laporan data dan forensik termasuk yang disediakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia berkaitan kejadian menjurus kepada tertuduh.

Beliau bagaimanapun meminta kadar jaminan yang munasabah sekiranya mahkamah berhasrat untuk memberikan jaminan.

Sementara itu, Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Shazwan Shaidan yang mewakili tertuduh dalam rayuannya memaklumkan, anak guamnya menyara ibu yang lumpuh.

“Tertuduh juga mempunyai masalah kesihatan iaitu OKU (orang kelainan upaya) mental. Dikemukakan satu kad OKU, satu kad rawatan Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Kangar serta dua surat rawatan susulan dari Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Kuala Lumpur.

“Dia masih dalam rawatan dan perlu mengambil ubat-ubatan untuk stabil keadaan emosi,” jelasnya yang memohon mahkamah memberi jaminan dengan nilai paling minimum.

Pengarah Pendakwaan negeri, Muhamad Asyraf kemudian memohon supaya tertuduh dirujuk kepada jabatan psikiatri berikutan dokumen kesihatan mental yang dikemukakan itu.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 15 Mei ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI