fbpx

Kem latihan Piala Thomas tanpa Zii Jia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZII JIA

PERSEORANGAN lelaki profesional negara, Lee Zii Jia tidak akan bersama skuad badminton negara menjalani latihan pusat selama seminggu bermula esok dalam persiapan menghadapi Piala Thomas di Chengdu, China dari 28 April hingga 5 Mei depan.

Bekas juara All England itu sudah pun menjalani latihan secara bersendirian sebaik pulang daripada Kejohanan Badminton Asia (BAC) seperti yang dinyatakan Team Lee Zii Jia (Team LZJ) menerusi laman media sosialnya hari ini.

Meskipun tidak menyertai kem latihan bersama rakan sepasukan, namun Zii Jia dilaporkan akan menyertai mereka ketika berlepas ke Chengdu dijadualkan pada 24 April ini.

“Program latihan dan segala yang diatur oleh pengarah kejurulatihan pasukan, Wong Tat Meng akan mempersiapkan Zii Jia untuk menampilkan aksi terbaiknya pada Piala Thomas dan juga mengekalkan prestasi semasa menjelang lima lagi kejohanan selepas ini.

“Program latihan dilakukan berasingan daripada pasukan Piala Thomas, sudah dibincangkan bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan disokong oleh Pengarah Kejurulatihan BAM, Rexy Mainaky dan Ketua Pentadbiran, Michelle Chai,” kata kenyataan itu.

Pasukan profesional itu menyatakan penghargaan kepada Rexy dan Michelle kerana memahami keputusan Zii Jia dalam usahanya sedang mempersiapkan diri ke arah Sukan Olimpik Paris 2024.

“Kami berterima kasih kepada BAM, Rexy dan Michelle kerana memahami dan mempercayai kami untuk menguruskan rancangan latihan dalam jadual kejohanan yang padat menjelang temasya Sukan Olimpik.

“Zii Jia sudah tidak sabar untuk menyertai skuad pada 24 April nanti,” tambahnya.

Sebelum ini, persoalan mengenai sama ada pemain No.11 dunia itu akan bersama pasukan ke Piala Thomas ataupun tidak terjawab apabila dia disenaraikan dalam skuad bagi menghadapi kejohanan yang dianggap sebagai piala dunia badminton itu.

Selain itu, Zii Jia juga akan menerima bayaran pampasan bagi menyarung jersi kebangsaan setiap kali dia turun beraksi pada saingan Piala Thomas nanti.

Sebagai rekod, Malaysia dijangka tidak berdepan laluan mudah untuk melayakkan diri ke pusingan kalah mati apabila diundi dalam Kumpulan D bersama juara edisi 2016, Denmark serta Hong Kong dan Algeria. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI