fbpx
SEDEKAD membina nama di Malaysia, Hisyam Hamid enggan terlibat dengan sebarang onar media sosial yang berisiko mencemarkan reputasi ‘bersih’ dirinya sebagai anak seni.

Tak suka meroyan, jangan tambah bara – Hisham Hamid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERDIRI atas posisi sebagai figura popular bukan tugas mudah, lebih-lebih lagi apabila hampir seluruh aspek kehidupan berada dalam landskap media sosial.

Banyak yang perlu dipertimbangkan sebelum memuat naik sebarang perkongsian dalam gelanggang penuh ‘mata-mata’ tersebut agar tidak meninggalkan impak negatif kepada masyarakat.

Jika kena caranya, pasti akan ‘dilambung’ pujian tetapi sekiranya silap percaturan, kecaman bakal menghurung diri. 

Itu yang bermain dalam fikiran pelakon kelahiran Singapura, Hisyam Hamid melihat situasi lazim anak seni mutakhir ini. 

Baginya, pengguna dan kandungan dalam media sosial pada hari ini sangat menyeramkan. Semua yang berlegar dalam sistem media sosial menjadikan dirinya sangat berhati-hati.

AMBIL pendekatan tidak aktif dalam media sosial, Hisham Hamid sebenarnya enggan memperjudikan reputasi baik di mata umum.

Takut

“Saya bukan jenis aktif dalam media sosial. Tak suka meroyan atau kongsi perkara negatif kepada umum. 

“Kalau diri sedang bergelut dan berada dalam fasa terendah sekali pun, saya tetap akan tunjuk perkara positif sahaja.

“Kalau tengok saya senyap lama, memang tidak okeylah ketika itu,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Hisyam menyifatkan media sosial hari ini terlalu toksik dan dia enggan menjadi individu yang menyemarakkan hal negatif.

“Media sosial sekarang ini sudah terlalu banyak perkara negatif, jadi saya tak perlu nak tambahkan bara lagi.

“Sebagai orang popular, itu tugas saya iaitu memaparkan dan menyebarkan aura positif kepada masyarakat,” jelas bintang filem La Luna itu.

Bukan sahaja takut, emosi juga perlu kental sekiranya ingin menjadi seorang pengguna media sosial hari ini, terutama apabila dihujani dengan kecaman.

“Memang saya takut dan masalahnya kalau buat benda baik pun kena kecam juga. 

“Jadi, jiwa perlu kental kalau nak jadi public figure. Perlu sentiasa terima kecaman daripada orang.

“Saya berhati-hati nak muat naik hantaran media sosial lebih-lebih sejak muncul macam-macam isu kebelakangan ini sebab tak mahu beri ruang kecaman kepada orang ramai,” tuturnya.

HISYAM bersyukur lakonannya dalam filem La Luna meraih pujian dan memberi impak terhadap jalan cerita.

Masih laku

Beralih perihal kerjaya, pemilik nama penuh Hazmi Hisyam Abdull Hamid itu bersyukur bakatnya masih lagi diterima meskipun berada di tengah-tengah kemunculan ratusan pendatang baharu.

Hisyam berkata, tiada istilah bersaing dengan bakat baharu, sebaliknya situasi sebegitu dilihat sebagai satu bentuk evolusi dalam industri hiburan tanah air.

“Pada fasa sekarang, saya tak perlu bersaing pun dengan pendatang baharu.

“Perlu terima hakikat bahawa seorang pelakon ada tarikh luput dan akan tiba masa zaman kegemilangan seseorang itu akan berakhir.

“Kehadiran orang baharu memberi variasi dan mewarnai lagi industri kita. Tak kanlah asyik nak tayang muka hero sama sahaja. Penonton pasti mahukan sesuatu yang segar dan lebih sedap mata memandang,” tegasnya.

Mengulas lanjut, dia yakin disiplin merupakan kunci utama dirinya masih diberi peluang memegang watak utama hari ini.

“Pada umur sekarang, untuk kekal relevan bukan satu perkara yang mudah tetapi prinsip yang saya amalkan sejak dahulu adalah menjaga disiplin.

“Kebanyakan rumah produksi tahu cara saya bekerja iaitu tak pernah datang lewat ke set penggambaran dan buat persiapan awal sebelum menjayakan mana-mana babak.

“Perkara itu sangat penting untuk kekal relevan. Kalau orang suka cara kita kerja, perkara itu akan tersebar ke seluruh industri, sekali gus membawa lebih banyak rezeki iaitu tawaran lakonan,” ujar pelakon berusia 38 tahun itu.

HISYAM mengakui cerewet dalam soal membeli busana raya dan sangat mementingkan keselesaan, terutama berkaitan jenis fabrik.

Raya

Berkongsi sedikit sambutan hari raya di Singapura baru-baru ini, Hisham menzahirkan rasa syukur dapat berkumpul dengan sanak-saudara yang sudah lama tidak bersua muka.

“Raya di Singapura tak seperti di Malaysia yang disambut meriah selama sebulan. Di sana hanya cuti sehari iaitu pada hari raya pertama. Memang berbeza tetapi tetap meriah.

“Saya suka suasana riuh berkumpul dengan sanak-saudara, itu baru hari raya,” kata bapa kepada dua orang cahaya mata itu.

Dalam keseronokan menyambut Syawal, Hisyam mengakui sangat menitikberatkan soal kesihatan dan pemakanan keluarga bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

“Semua perlu kawal diri pada hari raya. Macam anak-anak pun saya akan jaga dan kawal. Kalau rumah pertama sudah minum air manis, rumah seterusnya hanya minum air kosong.
“Itu cara untuk kawal pemakanan supaya tidak ambil gula berlebihan pada hari raya.

“Tak mahulah lepas raya jatuh sakit dan sebagainya. Kalau tak kawal, mereka akan mudah jatuh sakit seperti demam dan sebagainya,” jelas bapa kepada dua cahaya mata itu.

Foto oleh: IQBAL ROSLI  |  Solekan: Manda Zuhairy  |  Penata gaya: Dean Ishak
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN