fbpx

Setiap jam seorang jadi korban jalan raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAKTOR pemanduan seperti mengekori kenderaan terlalu dekat, cuai, leka dan keletihan menjadi punca-punca kepada kemalangan jalan raya sehingga meragut nyawa. – GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Sebanyak 83 kematian akibat kemalangan jalan raya direkodkan sepanjang 96 jam Op Selamat ke-22 bermula Isnin lalu sehingga kelmarin, menunjukkan statistik satu nyawa mela­yang bagi setiap satu jam pada Hari Raya Aidilfitri kali ini.

Ia mencatatkan purata 20 kematian sehari dalam tempoh empat hari Op Selamat ke-22 dilancarkan.

Lebih membimbangkan, secara purata sebanyak 1,472 kemalangan berlaku sehari apabila 5,891 kes kemalangan dilaporkan dalam tempoh sama.

Jumlah itu menunjukkan sebanyak 61 kemalangan berlaku dalam tempoh sejam atau satu kemalangan selang seminit.

Menurut statistik laporan ha­rian kemalangan dan kematian jalan raya dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), pada Isnin lalu mencatatkan 14 kematian daripada 1,683 kemalangan jalan raya, diikuti 18 kematian dan 1,631 kemalangan pada Selasa.

Jumlah kematian meningkat mendadak pada Rabu lalu yang juga merupakan hari raya pertama apabila 35 kematian dica­tatkan melibatkan 1,289 kemalangan di seluruh negara.

Kelmarin, sebanyak 16 kematian dicatatkan melibatkan 1,288 kemalangan di seluruh negara.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd. Nasri Omar berkata, mengekori kenderaan terlalu dekat dan tidak nampak objek dari arah hadapan atau sama arah adalah antara punca berlakunya kemalangan jalan raya.

“Selain itu, cuai ketika keluar masuk simpang jalan, ubah haluan, memotong atau sedang memotong.

“Leka atau mengantuk serta keletihan turut boleh menjadi punca kepada kemalangan yang direkodkan ini,” jelas beliau ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Bagaimanapun, beliau berkata, jumlah tersebut berkemungkinan menurun disebabkan orang ramai berehat sebelum balik ke ibu kota.

Sehubungan itu, bermula semalam beliau sedang giat mengatur gerak pasukannya untuk memfokuskan kepada pergerakan pulang orang ramai ke ibu kota.

“Hari ini (semalam) akan ada pergerakan balik ke ibu kota. Insya-Allah kita doakan dipermudahkan dan segalanya dalam keadaan baik,” ujar beliau.

Justeru itu, beliau menasihatkan agar kesemua pengguna merancang dahulu pergerakan terutamanya jika perlu melakukan perjalanan yang jauh.

Jelasnya, ia termasuk mengenal pasti lokasi yang perlu berhenti untuk berehat jika perlu menempuh perjalanan melebihi masa daripada perjalanan biasa.

“Semua pengguna jalan raya bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan selama berada di dalam pergerakan lalu lintas tanpa mengira di mana jua lokasi.

“Jalan raya bukan tempat untuk mengejar masa atau menunjukkan kehebatan pemanduan tetapi satu medium penting untuk perhubungan dari satu lokasi ke satu lokasi,” ujarnya.

Kosmo! pada 6 April lalu me­laporkan, PDRM melaksanakan Op Selamat ke-22 sempena Aidilfitri tahun 2024 bermula 8 April sehingga hari ini.

Dengan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi’, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dipetik berkata, pengguna jalan raya diingatkan memandu dengan sabar, berhemah dan bertanggungjawab sepanjang perjalanan pulang ke kampung halaman. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI