fbpx
Dibesarkan nenek hingga dewasa, segala keseronokan raya bagi Zizan juga hilang saat wanita itu meninggal dunia empat tahun lalu. – SYAKIR RADIN/ASTRO

Aidilfitri sugul tanpa nenek – Zizan Razak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEHILANGAN insan tersayang sememangnya memberi impak besar dalam kehidupan seseorang.

Siapa sangka, pemergian arwah nenek akibat kanser hati pada tahun 2020 turut membawa bersama segala keterujaan dan semangat Zizan Razak menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Kehilangan tersebut juga menyebabkan Zizan memilih untuk menyambut hari raya di ibu kota berbanding di kampung halaman di Terengganu.

Tak balik raya

“Sejak nenek saya meninggal dunia, saya lebih banyak habiskan masa dan menyambut raya di KL tambahan pula emak saya juga menetap bersama di sini.

“Sambutan dan suasana hari raya juga turut berubah. Kemeriahan dan kemanisan seperti dahulu memang sudah tiada,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Bukan sahaja sambutan, malah persiapan raya juga turut dilakukan secara sederhana tanpa berlebih-lebihan.

Bintang jenama Polis Evo itu bagaimanapun akan tetap pulang ke Terengganu, namun beberapa hari selepas hari raya.

SOLO tanpa kekasih dan masih tiada isteri, Zizan kini banyak mencurahkan sepenuh perhatian terhadap ibunya, Anai Ibrahim.

“Baju raya tahun ini pun hanya sehelai, tahun lalu langsung tidak beli baju raya.

“Raya adalah percutian bagi saya sebab pada ketika itulah nak berehat, habiskan masa dengan keluarga. 

“Sudah beberapa tahun memilih untuk berehat di rumah sahaja, namun saya akan pulang tetap pulang ke Terengganu beberapa hari selepas hari raya yang ketika itu jalan pun sudah tak sesak,” ujarnya.

Pemilik nama penuh Mohd.Razizan Abd. Razak itu berasakan perubahan ketara selepas pemergian nenek tercinta.

“Selepas Covid-19 dan nenek saya meninggal tahun 2020, hari raya berubah ‘luar biasa’.

“Pernah juga saya pulang ke Terengganu dan ke rumah nenek, saya masuk rumah dia rasa lain dan sejak itu saya tak beraya sangat.

“Besar juga impak kehilangan nenek kepada kami sekeluarga. Biarpun masing-masing tak meluahkan tetapi daripada bahasa tubuh, kita semua boleh faham yang semangat raya tidak lagi seperti dahulu,” kongsinya.

Membesar bawah jagaan nenek, Zizan sempat berpesan agar sentiasa menghargai masa bersama orang tersayang.

Baginya, masa tersebut terlalu berharga dan tidak akan dapat dimiliki lagi sekiranya terlepas walau sesaat.

“Saya dilahirkan di rumahnya dan dibesarkan sehingga dewasa.

“Cuma selepas jadi artis, kami kurang habiskan masa bersama dan agak terkilan di situ.

“Kalaulah saya dapat putarkan waktu. Satu hal yang saya pelajari ialah hargai masa dengan orang tersayang walau sesaat sebab setiap masa yang terlepas akan jadi sejarah,” ujarnya lagi.

Mercedes untuk ibu

Sempat ditanya tentang kereta mewah jenama Mercedes Benz GLC 300 untuk ibu tercinta, Anai Ibrahim baru-baru ini, Zizan berkata kenderaan tersebut sudah lama diidamkan ibunya.

SEDIKIT sesal mengenangkan kesibukan masa lalu sehingga mengabaikan insan tersayang, Zizan berharap khilafnya menjadi sempadan buat semua orang.

“Sebenarnya ibu memang sudah suarakan hasrat untuk memiliki kereta itu cuma masih belum lancar di Malaysia.

“Emak beritahu, dia sudah berusia tetapi belum pernah rasa memandu Mercedes. Saya pun terdiam dan cakap tunggulah kalau sudah ada duit. 

“Kemudian bulan lalu baru lancar dan dapat. 

“Dia menangis dan tak jangka sebab ibu memang minat sangat dengan kereta itu,” cerita.

Katanya lagi, keputusan untuk membelikan kereta untuk ibu kerana yakin kudrat dimiliki wanita itu.

“Alhamdulillah ibu masih kuat untuk memandu dan sebab itu saya yakin untuk belikan dia kereta.

“Dia juga boleh bawa kereta jenis manual dan automatik,” ujar Zizan yang sememang merupakan peminat kereta mewah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN