fbpx

Anak, cucu Ismail Haniyeh syahid dirasai umat Islam seluruh dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tuan Ibrahim.

PETALING JAYA – Syahidnya tiga anak lelaki pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh yang terbunuh dalam serangan udara Israel malam tadi hanya akan menyemarakkan lagi kebangkitan umat Islam bukan hanya di Palestin malah di seluruh dunia.

Menurut Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, serangan berterusan Israel ke atas bumi suci umat Islam pada hari pertama Aidilfitri merupakan antara siri berterusan tindakan genosid Israel ke atas rakyat Palestin.

“Pas merakamkan takziah dan menyatakan rasa dukacita yang amat mendalam dengan berita syahidnya tiga anak Ismail Haniyeh iaitu Hazen Haniyeh, Amir Haniyeh dan Muhammad Haniyeh.

“Selain itu turut syahid adalah tiga cucu beliau, Amal (anak kepada Hazem) serta Khaled dan Razan (anak kepada Amir).

“Sesungguhnya kesyahidan mereka ini akan pasti menyemarakkan kebangkitan umat Islam bukan hanya di Palestin malahan turut menyemarakkan kebangkitan di seluruh dunia,” katanya.

Oleh itu, Pas mendesak agar gencatan senjata disegerakan dan pintu sempadan Rafah dibuka bagi mempercepatkan bantuan kemanusiaan berupa ubat-ubatan dan keperluan asas harian penduduk di Gaza.

“Saya menyeru kepada semua, jangan kita lupakan saudara kita di Palestin dengan terus berdoa untuk kemenangan mereka,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan, tiga anak lelaki pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh terbunuh dalam serangan udara Israel di Semenanjung Gaza malam tadi, lapor sebuah agensi berita.

Ismail yang menetap di Qatar merupakan jurucakap Hamas di peringkat antarabangsa.

Kediaman keluarganya musnah dalam serangan udara Israel pada November tahun lalu.

Tiga anak lelaki Ismail iaitu Hazem, Amir dan Mohammad terkorban selepas kereta yang mereka naiki dibom di Kem Pelarian Al-Shati, kata Hamas.

Tiga cucu Ismail turut terbunuh dalam serangan sama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI