fbpx

Dua peniaga ditahan kes letupan mercun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar orang ramai berlari ketakutan akibat kejadian letupan bunga api dan mercun di Dataran Jam Besar Sungai Petani, awal pagi tadi.

SUNGAI PETANI – Polis menahan dua peniaga kerana disyaki terlibat dalam insiden letupan bunga api dan mercun di Dataran Jam Besar, di sini kurang 24 jam selepas kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, suspek pertama berusia 27 tahun dan merupakan peniaga serta pemilik bunga api dan mercun itu ditahan di Taman Keladi, di sini petang ini.

Kata beliau, susulan penahanan itu, pihaknya menahan seorang lagi suspek berusia 24 tahun yang merupakan rakan kepada suspek pertama.

“Dia dipercayai membakar mercun sehingga mencetuskan kegemparan awam dalam kejadian kira-kira pukul 4.48 pagi tadi. Insiden itu dipercayai berlaku selepas suspek kedua membakar mercun jenis ‘happy boom firework’ yang diperoleh daripada suspek pertama,” katanya di sini hari ini.

Tambah Zaidy, ketika kejadian suspek pertama sedang bersiap untuk menutup perniagaannya di kaki lima dataran berkenaan.

“Mercun tersebut dikatakan telah terbalik dan tersasar ke arah lambakan mercun lain menyebabkan suasana menjadi cemas dengan dentuman bersama percikan api dalam kuantiti banyak,” ujarnya.

Tambahnya, keadaan itu mencetuskan suasana panik orang ramai yang berada berdekatan dan pasukan bomba yang tiba mengesahkan tiada kebakaran dan kecederaan berlaku.

“Kedua-dua suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah itu kini dalam proses permohonan reman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 7(a) Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.

Terdahulu Kosmo! melaporkan orang ramai cemas selepas berlaku letupan bunga api dan mercun di Dataran Jam Besar awal pagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI