PETALING JAYA – Meskipun sudah hampir empat tahun tidak menatap wajah anaknya yang hilang sejak tahun 2020, firasat hati seorang ibu tetap mengatakan bahawa Mohd. Shahddan Suhaimi masih hidup.
Malah sepanjang tempoh itu, Wan Rahimah Wan Abd. Rahman, 57, tidak putus-putus menitipkan doa agar anaknya kembali ke pangkuan keluarga.
“Hati saya tetap mengatakan dia masih hidup. Kami amat mengharapkan keajaiban berlaku, satu hari nanti dia akan pulang ke pangkuan kami tidak kira keadaannya sama ada bernyawa atau sebaliknya.
“Setiap hari saya berdoa agar dia diberikan kesejahteraan dan perlindungan daripada Allah,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Mohd. Shahddan, 36, yang merupakan anak sulung daripada enam beradik dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Rawang, Selangor pada 23 November 2020.
Pemuda itu dikatakan tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri dan telefon bimbit ketika meninggalkan rumahnya.
Mengulas lanjut, Wan Rahimah memberitahu, sambutan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tahun ini adalah yang ketiga mereka sekeluarga menyambutnya tanpa kehadiran Mohd. Shahddan.
Cerita wanita itu, hatinya terlalu rindu untuk mendengar suara dan melihat wajah terkini anak lelakinya itu, lebih-lebih lagi pada hari lebaran.
“Biasanya setiap kali tiba bulan Ramadan dan Syawal, Mohd. Shahddan merupakan individu yang paling sibuk menyediakan juadah bersama keluarga selain mengemas rumah.
“Pada pagi Hari Raya Aidilfitri, kami sekeluarga akan berkumpul untuk bermaaf-maafan, namun dua tahun kebelakangan ini perayaan Aidilfitri kami bagaikan hilang seri.
“Apabila sebut namanya, air mata saya laju mengalir mengenangkan keadaannya sekarang.
“Saya seperti orang gila, jika berjumpa dengan gelandangan di tepi jalan, saya akan berhenti melihat sama ada itu Mohd. Shahddan atau tidak,” katanya.
Ujar Wan Rahimah, bagi melepaskan rindu terhadap Mohd. Shahddan, dia akan menatap foto yang masih berada dalam simpanannya.
Tambah wanita yang berasal dari Kuala Krai, Kelantan itu, dia akan tetap berusaha dan berikhtiar walau apa cara sekali pun untuk menjejaki anaknya termasuk menggunakan khidmat pengamal perubatan Islam.
“Banyak ustaz yang saya jumpa, mereka beritahu anak saya masih ada, tetapi dijaga ‘seseorang’,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Mohd Shahddan diminta menghubung Wan Rahimah di talian 011-15465400 atau memaklumkan kepada balai polis berdekatan.














