PETALING JAYA – Jalan raya disifatkan masih menjadi ‘perangkap maut’ apabila sebanyak 80 kematian direkodkan dalam tempoh empat hari bermula Rabu lalu sehingga kelmarin.Menurut laporan harian kemalangan dan kematian di jalan raya dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh tersebut, sebanyak 8,545 kemalangan dicatatkan membabitkan pelbagai jenis kenderaan.
Berdasarkan statistik, seramai 15 individu maut pada Rabu lalu dengan 2,044 kes kemalangan dicatatkan, sementara 17 kematian dicatatkan melibatkan 2,160 kes pada Khamis.
Sementara itu, pada Jumaat, jumlah kematian menyaksikan peningkatan dengan 25 orang maut membabitkan 2,185 kemalangan sementara sebanyak 23 kematian dicatatkan melibatkan 2,156 insiden di seluruh negara pada Sabtu lalu.
Penyelidik Utama Pusat Pemanduan Bijak, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Profesor Madya Dr. Munzilah Md. Rohani berkata, peningkatan kemalangan jalan raya pada musim perayaan tidak boleh dielakkan berikutan pertambahan kenderaan yang secara tidak langsung membantu meningkatkan risiko berlakunya perkara tidak diingini seperti kematian.
“Bagi mengurangkan kadar kematian dan kemalangan semuanya berbalik kepada pemandu itu sendiri.
“Keadaan pemandu sama ada penat, mengantuk sangat mempengaruhi pemaduan kerana mereka mungkin tidak dapat membuat keputusan yang baik seperti ketika memotong,” katanya kepada Kosmo!.
Sehubungan itu, Munzilah menasihatkan orang ramai agar peka dengan keadaan lokasi yang kerap berlaku kemalangan dan kesesakan selain sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri berkata, Op Selamat 22 sempena Aidilfitri bermula hari ini bertujuan menurunkan kadar kemalangan dan membantu kelancaran lalu lintas.

Dengan mengekalkan tema ‘rumah selamat, selamat sampai ke destinasi’, Azman memaklumkan, pihaknya komited keselamatan jalan raya terjamin di mana pendekatan ‘Total Enforcement and Delivery Services’ digunakan.
“Kaedah penguatkuasaan ini digunakan bagi mendidik pengguna agar berhemah dan (pihak polis) akan memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan di jalan raya.
“Petugas JSPT akan berada di lokasi ‘hotspot’ dan ‘blackspot’ bagi menunjukkan ‘omnipresence’ seiring dengan slogan ‘kehadiran JSPT dirasai’,” katanya.
Menurutnya, antara punca kemalangan berlaku adalah mengekori rapat kenderaan di hadapan selain cuai ketika keluar atau masuk di simpang.
Selain itu katanya, mengubah haluan atau cuba memotong kenderaan dihadapan selain pemandu letih atau berangan.
“Semua pengguna bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan semasa berada di dalam pergerakan lalu lintas tanpa mengira dimana jua.
“Jalan raya bukan tempat untuk mengejar masa atau menunjukkan kehebatan pemanduan tetapi satu medium penting untuk perhubungan dari satu lokasi ke lokasi yang lain.
“Jika perjalanan biasa sepatutnya tiga jam tetapi bertambah dari masa perjalanan biasa, maka perancangan semula perlu dibuat seperti ubah waktu pergerakan atau mengenal pasti lokasi yang perlu berhenti untuk berehat,” ujarnya.
Menurut Azman, Op Selamat 20 sempena Hari Raya Aidilfitri tahun lalu merekodkan sebanyak 8,706 kes yang mana 105 kes merupakan kemalangan maut dengan kematian 111 orang.
Jelasnya, kadar penyumbang kematian tertinggi merupakan penunggang motosikal dan pembonceng motosikal iaitu seramai 72 orang.














