fbpx
KHIDMAT menukar duit raya semakin popular memandangkan ramai yang tidak dapat berbuat demikian kerana sibuk bekerja. –GAMBAR HIASAN

Runner tukar duit raya senyum lebar, raih hampir RM4,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Berbaki beberapa hari lagi, umat Islam bakal meraikan Hari Raya Aidilfitri dan ada dalam kalangan masyarakat mengambil peluang melakukan pelbagai kerja demi mencari ‘duit poket’ tambahan.

Situasi ini jelas dilihat apabila kerjaya sebagai penghantar (runner) yang menyediakan khidmat bantuan menukar duit raya di bank mula dicari orang ramai.

Semakan Kosmo! di platform media sosial, lebih 300 individu memuat naik iklan menawarkan khidmat menukar wang not besar di bank untuk dijadikan sebagai duit raya dengan mengenakan sejumlah caj sebagai upah servis yang diberi.

Rata-rata mampu meraih upah bersih sehingga RM4,000 dengan hanya melakukan servis sekitar dua hingga tiga minggu sebelum raya.

Berkongsi cerita, Muhamad Sufi Shafai, 35, berkata, beliau yang pertama kali menawarkan perkhidmatan menukar duit raya di bank pada tahun ini berasa teruja apabila permintaan dalam kalangan orang ramai sangat memberansangkan.

Katanya, pada minggu lalu dia mampu meraih upah bersih sekitar RM1,200 dengan hanya lima jam bekerja.

“Minggu lepas sahaja saya berjaya tukar RM9,500 di bank melibatkan wang kertas RM10, RM5 dan RM1 yang menjadi permintaan tinggi pelanggan.

“Setiap pelanggan secara purata akan meminta tukar RM500 hingga RM700 dan caj yang saya kenakan ikut jumlah duit tukar antara RM35 hingga RM100 termasuk caj penghantaran,” kata­nya kepada Kosmo! semalam.

Seorang lagi yang menyediakan khidmat menukar duit raya secara sambilan setiap tahun, Fadzly Mohd., 40, berkata, beliau meletakkan kadar tetap untuk servis yang dikenakan iaitu RM15 bagi setiap pertukaran RM100.

“Saya letak caj upah beratur termasuk penghantaran secara tetap sebanyak RM15 bagi setiap tukaran RM100. Kalau pelanggan nak tukar RM500, maknanya caj dikenakan RM75, tidak ada caj tambahan,” katanya.

Fadzly yang juga merupakan pengarah sebuah syarikat memaklumkan setiap kali Ramadan, permintaan akan meningkat 20 hingga 35 peratus dan jumlah keseluruhan tukaran wang yang dibuat juga meningkat 10 kali ganda.

Sementara itu, penghantar sepenuh masa, Mohd. Sulehan, 37, berkata, sejak menjalankan servis menukar duit raya ini bermula 2017, setiap tahun beliau menerima peningkatan pelanggan sekitar 10 orang.

“Permintaan setiap tahun memang sangat banyak, sampai saya sendiri kadangkala tidak cukup tidur untuk memenuhi permintaan pelanggan.

“Tetapi saya tetapkan setiap pelanggan perlu buat tempahan lebih awal sebagai persiapan dan saya akan membuat pertukaran duit mereka dalam tempoh dua minggu sebelum raya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN