fbpx

Rujuk kandungan ‘Nabi Asli’ dengan pihak berkuasa agama Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Na’im (Gambar kecil) meminta orang ramai merujuk kandungan video yang dimuat naik oleh akaun Nabi Asli di YouTube dan X dengan mana-mana pihak berkuasa agama Islam.

PETALING JAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar meminta masyarakat untuk merujuk setiap kandungan video serta hantaran yang dimuat naik menerusi akaun media sosial ‘Nabi Asli’ dengan pihak berkuasa agama Islam.

Katanya, dalam suasana dunia tanpa sempadan ketika ini, kemajuan teknologi termasuk media sosial terlalu mudah untuk menyebarkan sesuatu maklumat meskipun fakta yang dibawa tidak betul, namun berisiko untuk orang lain mempercayainya.

“Ramai pihak yang menggunakan platform media sosial untuk menyebarkan ajaran mereka yang jauh menyeleweng daripada asas Islam sebenar.

“Adalah mustahak kepada umat Islam untuk memperkukuh ilmu kefahaman asas akidah berteraskan Ahli Sunnah Waljamaah dan tentunya ia memerlukan pengajian dan pendidikan daripada para guru yang bertauliah dan mempunyai kepakaran dalam bidang akidah.

“Pada masa sama, apabila ada kemusykilan agama termasuk dalam isu akidah, ia mestilah dirujuk kepada pihak berkuasa agama Islam seperti Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN) dan Jabatan Mufti Negeri-Negeri,” katanya kepada Kosmo!.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Kosmo! me­ngenai ajaran sesat yang disebarkan melalui akaun Nabi Asli di YouTube dan laman X.

Dalam pada itu, Mohd. Na’im juga mengingatkan semua pihak untuk menyemak dan menyelidik terlebih dahulu apa sahaja maklumat yang diterima bagi menentukan kesahihannya.

“Dalam konteks ini, institusi masjid dan surau perlu terus memperkukuh pengajian akidah kepada umat Islam. Ia adalah ilmu asas yang perlu difahami oleh umat Islam.

“Apabila kefahaman semakin kukuh, ia menjadi benteng kepada umat Islam untuk tidak mudah terjebak dan terpengaruh dengan apa-apa ajaran salah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI