fbpx

Pemberian Persekutuan kepada kerajaan negeri ditambah baik RM8.9 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara di Putrajaya hari ini. - Foto IHSAN KEMENTERIAN KEWANGAN

PUTRAJAYA – Mesyuarat Majlis Kewangan Negara bersetuju dengan keputusan Kerajaan Persekutuan untuk menambah baik pemberian serta sokongan kepada kerajaan negeri sebanyak RM8.9 bilion bagi tahun 2024.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Persekutuan komited bekerjasama dengan semua kerajaan negeri dalam usaha memajukan pembangunan negara secara terangkum.

“Berlandaskan prinsip manusiawi dan ‘rahmatan lil alamin’ yang membentuk kerangka Ekonomi Madani, penambahbaikan pemberian kepada kerajaan negeri dapat memberi manfaat langsung kepada semua rakyat tanpa mengira etnik, agama atau geografi.

“Peningkatan pemberian melibatkan semua negeri di Malaysia dan akan diberikan secara serentak.

“Walhasil, besarlah harapan saya agar pemberian ini dapat digunakan sepenuhnya oleh kerajaan negeri untuk menjamin kemaslahatan rakyat serta merancakkan pembangunan negeri dengan lebih mampan,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara Tahun 2024 yang dihadiri oleh Menteri- Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri.

Menurut Kementerian Kewangan, antara persetujuan dicapai termasuklah menyediakan peruntukan Pemberian Kerajaan Persekutuan kepada negeri-negeri sekitar RM8.9 bilion berbanding RM8.3 bilion pada tahun 2023 danRM8.1 bilion tahun 2022.

“Ia melibatkan peningkatan Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri kepada RM5.4 bilion berbanding RM5.2 bilion pada tahun 2023.

“Antara peningkatan itu termasuklah Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup sebanyak RM400 juta,” katanya.

Jelas kenyataan itu lagi, kenaikan Pemberian Pindahan Fiskal Ekologi turut ditambah kepada RM200 juta berbanding RM150 juta pada
tahun 2023.

Katanya, penambahan Pemberian Khas Tahunan kepada Sarawak dan Sabah ditingkatkan kepada RM300 juta berbanding RM16 juta untuk Sarawak dan RM129.7 juta untuk Sabah pada tahun 2023.

“Ia turut meliputi peningkatan Pemberian kepada perpustakaan dan muzium negeri sebanyak 10 peratus pada 2024.

“Bagi Perbelanjaan Pembangunan pula, sebanyak RM39.4 bilion disediakan bagi tahun 2024 untuk melaksanakan projek-projek pembangunan negeri berbanding RM36.7 bilion pada tahun 2023 dan RM28.8 bilion tahun 2022,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI