fbpx

‘Kami tidak sengaja’ – Netanyahu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ORANG ramai melihat kenderaan WCK yang musnah akibat diserang tentera Israel di Gaza kelmarin. - AFP

WASHINGTON – Israel menghadapi tekanan meningkat daripada pemimpin-pemimpin sekutunya selepas insiden serangan yang membunuh tujuh kakitangan badan amal Amerika Syarikat (AS), World Central Kitchen (WCK) ketika mereka membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Presiden Joe Biden mengutuk serangan udara tentera Israel ke atas konvoi tersebut di Gaza Isnin lalu, sambil mengaku ia mencetuskan kemarahan beliau, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC).

Beliau menggesa agar siasatan berhubung kejadian itu dilakukan segera dan berkata, Israel mesti bertanggungjawab dan mendedahkan (hasil siasatan) kepada umum.

Presiden AS itu juga membuat komen yang paling lantang sejak perang di Gaza bermula apabila beliau menuduh Rejim Zionis tidak melakukan usaha yang mencukupi untuk melindungi penduduk awam Palestin.

“AS telah berulang kali menggesa Israel agar menggelakkan operasi ketenteraan menentang Hamas ketika misi kemanusiaan dilakukan sebagai cara untuk mencegah korban awam,” tegasnya.

Presiden Israel, Isaac Herzog meminta maaf berhubung kematian anggota-anggota WCK yang ditubuhkan oleh cef selebriti, Jose Andres dari Sepanyol. Ia merupakan salah sebuah pembekal utama makanan ke Gaza.

Tiga daripada mangsa yang terkorban merupakan rakyat Britain, seorang dari Poland, seorang warga Australia, seorang rakyat Palestin dan seorang lagi mempunyai kerakyatan AS-Kanada.

Sementara itu, sambil mengaku bahawa tentera Israel telah menyerang mangsa-mangsa yang tidak bersalah, Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu berkata: “Dalam tempoh 24 jam lalu, terdapat kes tragis apabila tentera kita secara tidak sengaja menyerang orang yang tidak bersalah di Semenanjung Gaza.

“Kejadian ini sering berlaku dalam peperangan. Kami akan melakukan segala-galanya supaya perkara ini tidak berlaku lagi.”

Sementara itu, Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak bercakap dengan Netanyahu menerusi panggilan telefon dan mendesak agar siasatan telus dan bebas dilakukan berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, Israel perlu menamatkan sekatan bantuan kemanusiaan dan melindungi orang awam, demikian menurut kenyataan daripada pejabatnya.

Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese turut melahirkan kemarahan ketika bercakap dengan Netanyahu menerusi panggilan telefon dan berharap akan mendapat penjelasan sebenar mengenai kejadian itu.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau berkata, adalah sesuatu yang tidak dapat diterima sama sekali apabila pekerja bantuan dibunuh oleh tentera Israel.

Menurut Menteri Luar Poland, Radoslaw Sikorski, beliau menuntut agar rakan sejawatnya, Israel Katz menjalankan satu siasatan bebas berhubung insiden itu.

Menurut WCK, konvoi bantuan tersebut diserang ketika meninggalkan gudang di Deir al-Balah selepas mereka memunggah lebih 100 tan bantuan makanan kemanusiaan yang dibawa ke Gaza dari Cyprus melalui laluan laut.

Konvoi itu terdiri daripada tiga buah kenderaan termasuk dua kenderaan berperisai yang jelas memaparkan nama dan logo NGO tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan tentera Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 196 pekerja bantuan kemanusiaan di Gaza sejak Oktober tahun lalu, lapor laman berita Daily Sabah.

Jurucakap PBB, Stephane Dujarric menegaskan bahawa semua serangan terhadap pekerja penjagaan kesihatan dan di hospital adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI