fbpx

Bekas banduan bersyukur dapat raya bersama keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seramai 45 OBB dibebaskan lebih awal menerusi PBSL Ihsan MADANI Kepulangan Yang Dinanti di Penjara Reman Pulau Pinang, hari ini.

GEORGE TOWN – Tiada yang lebih menggembirakan buat Ahmad,45, (bukan nama sebenar) apabila diberi peluang untuk menikmati 1 Syawal nanti bersama keluarganya selepas dipilih sebagai salah seorang Orang Bebas Berlesen (OBB).

Ahmad antara 45 banduan dari Penjara Reman Pulau Pinang, di sini yang terpilih di bawah Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan MADANI Kepulangan Yang Dinanti, sempena Aidilfitri.

Menurut bapa kepada enam anak berusia tujuh hingga 18 tahun, pengalaman terpisah daripada keluarga selama enam bulan dipenjara banyak mengajarnya erti penyesalan serta keinsafan.

Dia yang dimasukkan ke penjara akibat kesalahan dadah berkata, peluang diberikan oleh pihak kerajaan bagaikan penguat untuk dia tidak lagi menoleh ke belakang mengulangi kesalahan lalu.

“Saya sepatutnya menjalani hukuman penjara selama dua tahun namun saya bersyukur kerana dapat dibebaskan lebih awal menerusi program PBSL.

“Pengalaman di penjara amat menginsafkan dan saya berjanji untuk tidak lagi mengulangi kesalahan dan melukakan hati keluarga terutama anak-anak yang masih memerlukan saya,” katanya ketika ditemui di Penjara Reman Pulau Pinang di sini, hari ini.

Menurut Ahmad, sebelum ini dia bekerja sebagai pemandu dan selepas dibebaskan dari penjara dia berazam untuk bekerja semula demi masa depan keluarga mereka.

“Isteri saya suri rumah dan dia banyak berkorban menjaga anak-anak sepanjang saya menjalani hukuman, saya tidak mahu melihat isteri saya bersedih lagi selepas ini,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi OBB yang dikenali sebagai Ismail, 25, berkata, dia amat bersyukur kerana doanya agar dapat dibebaskan lebih awal dimakbulkan.

“Saya dijatuhkan hukuman penjara selama 10 bulan akibat didakwa menjadi ‘keldai akaun’ dan saya telah menjalani hukuman penjara selama lima bulan.

“Inilah Ramadan dan Syawal yang paling bermakna apabila doa saya agar dapat berhari raya bersama keluarga dimakbulkan Allah,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI