UNGKAPAN, ‘jangan jadikan kebiasaan orang lain sebagai kebiasaanmu’, secara umumnya mungkin biasa.
Namun, apabila kita membawa ungkapan ini dalam perbincangan berkaitan bulan Ramadan, ada beberapa perkara yang boleh diambil pengajaran.
Ia terdapat dalam hadis Nabi SAW. Daripada riwayat Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda yang bermaksud; “Berapa ramai orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan dahaga (dan lapar sahaja) dan berapa ramai orang pula yang berqiyam (menghidupkan malamnya) itu tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya melainkan hanya berjaga malam sahaja. (HR al-Darimi, 2750).
Maksud ‘usah jadikan kebiasaan orang lain’ merujuk kepada sesuatu perkara yang dilakukan oleh kebanyakan orang atau telah menjadi adat dan tradisi dalam masyarakat.
Kemungkinan tindakan atau perbuatan itu tidak dipandang sebagai sesuatu yang salah sekalipun dari sudut pandang syariat ia satu dosa dan ditegah.
Contohnya, kita biasa melihat berapa ramai orang Islam yang memakai seluar pendek atau pakaian di atas paras lutut sama ada lelaki atau perempuan tanpa rasa bersalah dan segan.
Sekalipun rata-rata masyarakat arif tentang had menutup aurat lelaki dan perempuan serta mengetahui bahawa ia berdosa, namun tindakan tersebut telah diterima oleh masyarakat tanpa sebarang keraguan dan pertikaian.
Ia seolah-olah difahami sebagai satu amalan biasa pada masa kini.
Dalam konteks amalan berpuasa dan Ramadan, mungkin ia boleh dikaitkan dengan berapa ramai orang Islam yang berpuasa, namun hanya sekadar menahan diri daripada makan dan minum sahaja.
Maksudnya, ramai orang Islam yang melaksanakan ibadah puasa, pada dirinya bulan Ramadan adalah ‘pesta makanan’ kerana adanya bazar.
Ada juga yang melihat sebagai ‘pesta makanan percuma’ kerana adanya juadah berbuka puasa di kebanyakan masjid.
Ada juga yang faham bahawa Ramadan adalah bulan untuk berpuasa dengan tidur sepanjang hari.
Puasanya tidak melakukan apa-apa pekerjaan melainkan tidur sahaja. Justeru, masing-masing mempunyai pemahaman dalam konteks berbeza mengenai konsep Ramadan itu sendiri.
Dalam memahami hadis disebutkan sebelum ini yang menyebutkan bahawa ramai orang Islam berpuasa, tetapi puasanya hanya menahan lapar dan dahaga.
Mana tidaknya, mereka menahan diri hanya pada zahir tidak makan serta minum sahaja, sedangkan mulut masih ‘manis’ berkata-kata dengan ungkapan menghina orang lain atau mengutuk, mengeji, berkata lucah dan sebagainya.
Ada juga yang menghabiskan masa hanya dengan bersembang kosong tanpa sebarang faedah. Dalam erti kata bahawa mulut dan lidah tidak berpuasa.
Demikian juga berapa ramai orang Islam yang melaksanakan ibadah puasa dalam erti kata menahan diri daripada makan dan minum serta kemungkinan menjaga mulut dan lidahnya daripada berkata dusta atau keji, tetapi tidak pada telinganya.
Pendengarannya diisi dengan keseronokan untuk mendengar gosip tentang orang lain atau masih melayan hiburan dan muzik yang tidak mendatangkan manfaat untuk dirinya atau masih melayan carutan orang lain serta mendengar lawak jenaka tidak berfaedah.
Seolah-olah hari puasanya dihabiskan dengan mendengar sesuatu yang tiada manfaat, malah kemungkinan mendatangkan dosa pula.
Puasanya adalah puasa zahir sahaja, tidak pada pendengarannya.
Dalam riwayat Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: “Puasa bukanlah hanya menahan diri daripada makan dan minum, akan tetapi puasa adalah dengan menahan diri daripada perkataan yang melalaikan dan lucah.” (Lihat: al-Targhib wa al-Tarhib, 2/154)
Justeru, ada pula dalam kalangan umat Islam yang berpuasa dengan hanya menahan lapar dan dahaga.
Ada yang menjaga mulut dan telinganya, tetapi tidak pada pandangan matanya.
Pandangan matanya masih liar memandang kiri dan kanan melihat perkara yang tidak dibenarkan.
Masih melihat wanita atau lelaki tidak menutup aurat dan disulami pula dengan pandangan bernafsu.
Bagaimana keadaan puasanya? Adakah hanya menahan makan dan minum tetapi masih melakukan kemungkaran pada pandangan matanya.
Sedangkan kita sedia maklum bahawa puasa bukan soal menahan lapar dan dahaga sahaja.
Namun, puasa adalah satu manifestasi ibadah seorang Muslim yang menahan dirinya daripada makan dan minum serta melakukan perkara membatalkan puasa selain dosa lain.
Dalam erti kata, sebagai seorang Muslim, kita perlu memastikan nilai dan kualiti puasa dijaga dengan sebaik mungkin.
Puasa adalah benteng untuk pertahankan diri kita daripada perkara yang tidak bermanfaat, melalaikan atau boleh mendatangkan dosa.
Kesimpulannya, jangan jadikan kebiasaan orang lain sebagai kebiasaan kita semasa di bulan Ramadan.
Jadi, kita sebagai seorang hamba yang benar-benar berusaha untuk meningkatkan ketakwaan di sisi Allah perlu memelihara diri daripada sebarang maksiat mulut, telinga dan mata serta anggota badan lain.
Bahkan, sentiasa berusaha gigih bagi memastikan setiap hari dalam bulan Ramadan berlalu dengan menjana pahala berterusan.
Insafilah diri dengan beringat bahawa kemungkinan Ramadan tahun ini adalah yang terakhir untuk kita.
Semoga Ramadhan tahun ini lebih baik untuk kita semua.















