fbpx
Sampah sarap sering memenuhi bahu jalan di Lebuh Raya LTU laluan Lipis-Merapoh setiap kali musim perayaan dan cuti persekolahan.

Penduduk bimbang LTU dipenuhi najis, sampah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LIPIS – Setiap kali musim pe­rayaan, penduduk di daerah ini khususnya di Padang Tengku mula resah apabila terpaksa berhadapan dengan sampah sarap termasuk najis yang dibuang pengguna Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (LTU) di bahu jalan.

Susulan itu, penduduk me­minta pihak berwajib menyediakan tong sampah roro di laluan LTU Jalan Kuala Lipis ke Merapoh.

Seorang penduduk Padang Tengku, Nor Mohamad Faizal Osman, 37, berkata, masalah sampah sarap yang memenuhi bahu jalan di sepanjang laluan LTU itu berulang setiap kali menjelang dan selepas cuti perayaan ketika ramai perantau pulang ke kampung.

“Seperti kita sedia maklum, laluan LTU ini masih belum ada kawasan rehat dan rawat (R&R), jadi ini agak menyulitkan pengguna untuk berehat ketika me­nempuh perjalanan yang panjang dan ­kesesakan jalan raya.

“Jadi kita berharap pihak berkaitan dapat menyediakan tong sampah di bahu jalan khususnya di laluan masuk Kechau Tui, Kampung Aur Gading, Felda Chegar Perah dan Merapoh.

“Ini dapat memudahkan pengguna untuk membuang sampah di tempat yang sepatutnya, sekali gus mengelakkan sampah dibuang sesuka-hati di lebuh raya itu,” katanya semalam.

Megat Aikrimah Hatim Abdul Halim, 34, pula mencadangkan pihak berwajib memasang papan tanda peringatan supaya pengguna tidak membuang sampah merata-rata.

Katanya, jika perlu pihak berkuasa juga seharusnya me­lakukan pemantauan bagi mela­rang pengguna membuang sampah merata-rata, malah mengenakan kompaun terhadap pesalah sebagai tindakan tegas.

“Menjaga kebersihan laluan LTU Lipis–Merapoh termasuk di lebuh raya lain merupakan tanggungjawab bersama,” ujarnya.

Pada 19 Februari lalu, Kos­mo! melaporkan, botol berisi air ken­cing antara 300 kilogram sampah yang dibuang di tepi jalan oleh pengguna dari susur masuk Kechau Tui, Padang Tengku hingga ke Kampung Aur Gading di Le­buh Raya LTU.

Selain itu, barangan plastik, bungkusan makanan, bekas minuman dan lampin pakai buang bayi turut ditemui oleh petugas pembersihan disertai kakitangan Jabatan Kerja Raya, Roadcare, SWCorp dan Alam Flora daerah Lipis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN