MENYAMBUT hari raya Aidilfitri dengan status baru berkahwin sememangnya memberi impak besar dalam kehidupan seseorang.
Banyak perubahan yang harus ditempuh selain berdepan dunia dan budaya serba tidak sama dengan rutin raya solo selama ini.
Berdebar! Ungkapan itu yang kerap terbit dari bibir Nabila Razali tatkala berkongsi perasaan menjelang sambutan hari raya tahun. Menambat kencang degup jantungnya, dia bakal beraya di kampung halaman suami tercinta, Nik Iruwan Nik Izani di Kelantan.
“Bukanlah terlalu gementar tetapi lebih kepada tertanya-tanya tentang cara yang betul untuk bergaul dengan keluarga baharu di Kelantan.
“Kalau nak cakap pasal gemuruh, menyanyi lebih menakutkan sebenarnya.
“Hendak beraya dengan keluarga baru, saya tak tahu rentak dan cara komunikasi dengan mereka. Risau saya seorang bising tetapi yang lain biasa-biasa pula.

Kampung suami
“Jadi, semua perkara itu perlu saya belajar apabila sudah berkahwin termasuk cara sesuaikan diri pada hari raya,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Perkara yang paling ditekankan sekiranya berada di negeri orang adalah sentiasa menjaga tatasusila agar imejnya sebagai seorang isteri dan selebriti.
“Satu hal yang saya pegang, banyak perkara perlu dijaga apabila berada di tempat atau negeri orang.
“Saya pun sebagai isteri dan individu dikenali, perlu pastikan semuanya terkawal,” tuturnya.
Selain suasana yang baru, persoalan lain yang bermain dalam fikirannya ialah pemilihan busana yang patut digayakan ketika beraya di kampung suami.
“Saya tak pernah sambut raya di Kelantan dan ini memang kali pertama serta tidak tahu ‘vibe’ di sana.
“Kemudian, saya pun masih tak tahu nak pakai baju macam mana. Teruja tetapi dalam masa sama gemuruh juga sebab sudah terbiasa beraya dengan busana glamor sebelum ini.
“Namun, suami ada juga pesan agar jadi diri sendiri saja. Semoga sambutan hari raya saya sekeluarga dipermudahkan,” ujarnya.
Meskipun berperang dengan debaran dan rasa gemuruh tersebut, dia yang popular menerusi lagu Pematah Hati itu tetap teruja untuk meraikan hari raya bersama saudara-mara belah suaminya di sana.
“Rasa tak sabar dan seronok nak jumpa saudara baharu dan sebenarnya kerisauan tersebut bukan satu masalah besar pun untuk saya.
“Hari raya juga adalah peluang untuk saya berkenalan dengan sanak saudara belah suami sebab ada yang tidak dapat hadir pada majlis perkahwinan kami sebelum ini,” ujarnya.

Hamil
Sempat diusik, sama ada sudah bersedia berdepan soalan cepumas mengenai zuriat daripada sanak saudara, Nabila berkata dia akan menjawab, semuanya bergantung pada rezeki.
“Kalau Dia kata sudah tiba masanya, tibalah. Kalau ada yang bertanya, jawapan saya sama sahaja seperti sebelum ini iaitu menyerahkan semuanya pada rezeki Allah SWT.
“Kalau tiada, hendak buat macam mana. Kami cuma boleh usaha sebab saya tidak letak ‘deadline’ atau sasaran bila hendak berbadan dua.
“Sekarang, saya juga sibuk dengan banyak perkara termasuk bisnes dan nyanyian. Mungkin Tuhan kata, kerja dahulu. Semoga soal ini (zuriat), dipermudahkan,” tuturnya.

Raya Mana?
Beralih topik kerjaya seni, bekas bintang Akademi Fantasia 2013 itu kini hadir dengan single terbarunya sempena Aidilfitri berjudul Raya Mana?.
Dia juga menyifatkan lagu ciptaan Ezra Kong itu cukup bermakna lebih sedekad bergelar penyanyi.
“Selepas 10 tahun bergelar penyanyi dan menghasilkan banyak single, akhirnya memiliki lagu raya sendiri yang sudah lama saya nanti-nantikan.
“Bagi saya, lagu ini sangat menarik kerana menceritakan dilema yang dihadapi mana-mana pasangan yang hendak pulang ke kampung pada Aidilfitri,” kongsinya
Kata penyanyi berusia 32 tahun itu, lagu raya tersebut juga merupakan hadiah istimewa buat peminat setia yang menantikan lagu rayanya selama ini.
Dia juga berpendapat Ezra seperti memahami situasinya yang dilalui ketika ini sebagai seorang isteri.
“Saya sendiri mengalami situasi ini selepas berkahwin kerana sebelum ini, saya tak perlu fikir nak berebut sambut raya di kampung siapa.
“Ezra memahami situasi yang saya alami untuk menyambut raya tahun ini bersama suami dan dia berjaya terjemahkan ke dalam lagu dengan baik,” katanya yang meminta Ezra tidak menghasilkan lagu raya mood sedih untuknya.

















