PETALING JAYA – Sebanyak 155 ajaran telah difatwakan sebagai sesat di negara ini sejak tahun 1950 sehingga kini.
Daripada jumlah itu, terdapat beberapa lagi ajaran sesat yang masih aktif, manakala selebihnya telah berjaya dibendung sepenuhnya.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam satu kenyataan berkata, antara ajaran yang masih aktif seperti ajaran SiHulk yang dibawa oleh Suhaini Mohamad, ajaran Pertubuhan Rahmatan Lil Alamin dan ajaran Millah Abraham @Ibrahim.
“Selain itu ajaran Hizbut Tahrir, ajaran Risalah Bab Kesucian yang dibawa oleh Wayang Hadi Kesumo (Hadi Minallah) melalui kumpulan Nur Mutiara Mutmainnah.
“Yang terbaharu, terdapat banyak video yang disebarkan di media sosial berkenaan ajaran ‘The Ahmadi Religion Of Peace and Light’ yang merupakan pecahan daripada ajaran Syiah Yamani,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Menurut Jakim, video-video tersebut dipercayai bukan dibuat di dalam negara termasuk kemunculan akaun ‘Nabi Asli’ yang giat mempromosikan ajaran sesat menerusi platform YouTube dan laman X.
Katanya, keadaan ini merupakan salah satu cabaran pihaknya untuk membendung ajaran-ajaran sesat yang disebarkan secara dalam talian kerana ia mudah diakses oleh sesiapa sahaja dengan pantas.
Dalam kenyataan yang dikongsikan juga, Jakim berkata, golongan yang sesat sentiasa wujud pada setiap masa dan tempat.
Jelasnya, terdapat kumpulan yang bergiat aktif di kawasan bandar dan ada menjalankan operasi mereka di tempat terpencil.
“Dengan dunia tanpa sempadan sekarang, jarak atau lokasi bukanlah satu halangan untuk mereka bergiat aktif.
“Antara sebab utama yang menyebabkan orang ramai terpengaruh dengan ajaran sesat adalah kejahilan, ketaasuban, kelemahan iman dan mempercayai ilmu daripada sumber tidak benar.
“Terdapat ajaran menyeleweng yang menawarkan khidmat atau pakej bagi menyelesaikan masalah kewangan yang akhirnya mereka terperangkap atau terpengaruh dengan anasir yang bertentangan dengan akidah,” katanya.
Sehubungan itu, Jakim sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa negeri dalam memantau serta mengikuti perkembangan sesuatu ajaran sesat di samping kerjasama erat melibatkan rakan-rakan strategik yang lain.














