fbpx

Tangguh kelulusan projek LRT, kereta kabel Bukit Bendera – SAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ilustrasi artis mengenai gambaran projek Kereta Kabel Bukit Bendera yang dijangka siap tiga tahun lagi.

GEORGE TOWN – Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang menangguhkan semua kelulusan projek mega seperti Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara dan kereta kabel Bukit Bendera sehingga pelan tempatan bagi kawasan pulau disediakan.

Presidennya, R. Meenakshi berkata, ini kerana walaupun Pelan Struktur Pulau Pinang 2030 telah disediakan dan rujukan kepada LRT dan kereta kabel terkandung di dalamnya, namun tiada butiran lanjut dari segi pengezonan terperinci kawasan projek berkenaan.

”Setakat ini bagi pembangunan di Bukit Bendera, terdapat Rancangan Kawasan Khas Bukit Bendera yang menetapkan butiran mengenai pengezonan kawasan dan perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan di situ.

“Namun, akan ada kawasan di luar Rancangan Kawasan Khas tersebut, terutamanya di stesen bawah di kaki bukit yang melibatkan kawasan di Taman Botani Pulau Pinang dan kawasan sekitarnya yang memerlukan pertimbangan dan perancangan yang sewajarnya,” katanya di sini, hari ini.

Pulau Pinang mempunyai projek mega melibatkan pembinaan LRT Laluan Mutiara selepas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan bahawa Kerajaan Pusat secara rasmi mengambil alih projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang daripada kerajaan negeri.

Selain itu, projek kereta kabel Bukit Bendera juga merupakan satu lagi projek mega negeri ini selepas Ketua Menteri, Chow Kon Yeow memaklumkan permohonan cadangan projek (RFP) untuk projek Kereta Kabel Bukit Bendera telah dianugerahkan kepada Hartasuma Sdn. Bhd. (Hartasuma) dan dijangka mengambil masa selama tiga tahun untuk siap sepenuhnya dan mula beroperasi.

Mengulas lanjut, Meenakshi berkata, berkenaan projek LRT sebaik sahaja penjajaran dimuktamadkan, ia akan melibatkan kesan sosial dan alam sekitar yang besar di kawasan kejiranan terdekat di sepanjang jajaran.

“Ia (projek LRT) memerlukan perincian dari segi pelan pengezonan di kawasan-kawasan yang berkenaan. Kami kesal kerana sejak beberapa dekad ini, Pulau Pinang masih belum mempunyai pelan tempatan bagi bahagian pulau untuk mengawal perancangan secara terperinci dan pengezonan kawasan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI