fbpx

Pensyarah universiti didenda RM9,000 guna dokumen palsu bayaran sewa kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Seorang pensyarah sebuah universiti awam didenda RM9,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menggunakan dokumen palsu membabitkan bayaran sewa kenderaan berjumlah RM6,600, enam tahun lepas.

Hakim Rozina Ayob menjatuhkan hukuman tersebut terhadap pensyarah lelaki berusia 47 tahun itu selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah atas tiga pertuduhan pilihan itu pada prosiding hari ini yang ditetapkan untuk sebutan kes.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 18 bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan pilihan itu, tertuduh didakwa menggunakan tiga resit bagi bayaran sewa tiga jenis kenderaan antara 24 April 2018 hingga 27 Januari 2019, berjumlah RM6,600 yang mana dia mempunyai sebab mengetahui bahawa kesemua dokumen berkenaan adalah palsu.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di sebuah fakulti, sebuah universiti awam di sini antara 29 Mei 2018 hingga 19 Februari 2019, mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama.

Hukuman bagi seksyen itu membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun, enam lagi pertuduhan pilihan membabitkan dokumen palsu yang dihadapi tertuduh sebelum ini dipertimbangkan sebagai ‘take into consideration’ (TIC) di bawah Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Abd. Muntaqim Abdul Aziz manakala tertuduh diwakili peguam Wan Shahrizal Wan Ladin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI