fbpx

Bicara Lim Guan Eng: Pengarah rasuah ahli perniagaan RM17 juta tutup siasatan SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Guan Eng

KUALA LUMPUR – Seorang pengarah syarikat memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, beliau merasuah seorang ahli perniagaan, G. Gnanaraja sebanyak RM17 juta bertujuan menutup siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadapnya.

Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli berkata, wang rasuah itu merupakan hasil penjualan hartanah kepada Zenith Urban Sdn. Bhd. manakala jumlah itu tidak diperoleh semula.

Ketika ditanya oleh peguam Haijan Omar yang mewakili bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, beliau berkata, wang itu merupakan sebahagian daripada sejumlah RM25 juta yang digunakan untuk membayar pihak-pihak tertentu.

Saksi pendakwaan ke-23 itu bagaimanapun tidak bersetuju bahawa beliau merancang mendapatkan pinjaman Maybank dengan menunjukkan wujud penjualan tanah, walhal ia sebenarnya untuk merasuah Gnanaraja.

Pada peringkat itu, Hakim Azura Alwi meminta pihak pembelaan kembali kepada prosiding mencabar kebolehpercayaan saksi kerana isu berkaitan pinjaman, sudah tersasar jauh daripada prosiding itu.

Zarul Ahmad memberi keterangan sewaktu prosiding mencabar kredibilitinya sebagai saksi dalam perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang terhadap Guan Eng yang bernilai RM6.3 bilion.

Mahkamah akan menentukan sama ada wujud percanggahan pernyataannya ketika siasatan kes Gnanaraja di Shah Alam dengan keterangannya ketika menjadi saksi kes bekas Ketua Menteri Pulau Pinang.

Beliau ketika itu Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (CZCSB) iaitu syarikat yang dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Zarul Ahmad bersetuju dengan peguam itu bahawa dalam keterangannya kepada SPRM menyatakan wang RM2 juta yang diberikan kepada Gnanaraja adalah wang yang dipinjam daripada Pengarah Urusan Vizione Construction Sdn Bhd, Datuk Ng Aun Hooi manakala keterangannya di mahkamah menyatakan wang tersebut hasil daripada jualan tanah.

Ketika ditanya oleh peguam Tiara Katrina Fuad, beliau bersetuju bahawa wang RM2 juta yang dipinjam daripada Aun Hooi adalah untuk Gnanaraja, bukan untuk Guan Eng.

Beliau tidak bersetuju bahawa wang RM2 juta itu dibayar kepada Gnanaraja untuk diserahkan kepada Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI