fbpx

Penyeludup beras dicekup simpan dadah, dua pucuk pistol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Zaki (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian daripada 50 kampit beras yang dirampas pada sidang akhbar di IPK Kelantan, Kota Bharu hari ini. - Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN / KOSMO!

KOTA BHARU – Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran beras dan dadah selepas menahan lima lelaki yang menyimpan pelbagai jenis dadah dan dua pucuk pistol dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Jambu, Panji di sini pada Rabu lalu.

Serbuan kira-kira pukul 7.40 malam itu dijalankan oleh sepasukan Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman menerusi Op Taring Bravo.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kelima-lima suspek yang ditahan merupakan warga tempatan berusia antara 30 hingga 56 tahun.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, sindiket berkenaan terlibat dalam aktiviti penyeludupan beras dari negara jiran sejak lima tahun lalu.

“Polis merampas lima kilogram (kg) ganja, 17,200 biji pil kuda, 18 liter air ketum, dua liter ubat batuk, sepucuk pistol jenis STI Champion, seunit kelopak bersama lima butir peluru hidup, sepucuk pistol jenis SW Mod 100.-5 dan 42 butir peluru hidup.

Muhammad Zaki (tiga dari kiri) menunjukkan sepucuk pistol milik kumpulan penyeludup beras yang dirampas pada sidang akhbar di IPK Kelantan, Kota Bharu hari ini. – Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN / KOSMO!

“Selain itu, 50 kampit beras dengan setiap satunya seberat 5 kg, lima buah telefon bimbit pelbagai jenis, sebuah trak pikap jenis Toyota Hilux turut dirampas dengan nilai rampasan sebanyak RM273,815,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, sudah lama menjalankan kegiatan penyeludupan beras dan mereka dipercayai cuba menyelitkan bekalan dadah di dalam kampit beras yang diseludup.

Menurutnya, polis akan terus menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan saki-baki kumpulan itu yang dipercayai masih bebas. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI