BAKAT lakonan wanita bernama Nadia Brian yang sudah lebih sedekad menghiasi langit industri seni tanah air tidak perlu dipersoalkan.
Wajahnya terpapar dalam variasi naskhah bersama pembawaan bermacam karakter, watak air mata atau penggoda sehingga kini sedang meledakkan menerusi Lelaki Itu.
Di sebalik penghayatan watak yang sudah melayakkan kalungan pujian, hakikatnya status janda yang diusung lebih menggoda untuk dicanang. Soal siapa yang bertakhta di hati, lelaki bagaimana yang dimahukan sebagai penganti, itu semua menjadi usikan ramai saat dirinya diajak berbicara.

Bosan atau lali, itulah realiti yang perlu ditelan pemilik nama penuh Nadia Najwa Mohamed Rashidi itu.
Enggan pisang berbuah dua kali, Nadia mengakui masih diselubungi kerisauan untuk berkahwin lagi, namun hati kecilnya adakala meraung mengimpikan sebuah rumah tangga bahagia.
Percaya jodoh ketentuan Tuhan, pelakon tinggi lampai itu hanya mempersiapkan diri dengan ilmu dan kematangan untuk menjadi isteri lebih baik agar isu lama tidak berulang saat mahligai cinta hendak dibina.
Kahwin
“Saya memang rasa takut nak berkahwin, takut perkara sama terjadi. Saya sedar bahawa sebuah perkahwinan tidak mudah, perlu ada kerukunan dan toleransi sesama pasangan.
“Tetapi semua itu bukanlah saya letak sebagai satu trauma untuk saya tidak mengecap bahagia.
“Jujurnya, saya memang nak kahwin, mahu ada anak dan membina keluarga kecil yang bahagia.
“Saya sedar untuk meraih mimpi itu, saya perlu perbaiki diri menjadi insan lebih baik, timba ilmu rumah tangga.

FEIRUZ SOHOR / Rambut: AYUM PRIMADONA
“Pokok pangkalnya berbalik kepada diri kita sendiri, buatlah persediaan terbaik sebelum bertukar status menjadi isteri orang,” katanya tersenyum.
Ditanya adakah lebih selektif dalam memilih jodoh, wanita kelahiran Kangar, Perlis itu hanya mengimpikan lelaki bertanggungjawab dan kuat ilmu agama.
Di sebalik mimpi sempurna itu, Nadia tiba-tiba mencetuskan kejutan, apabila membuat pengakuan, tidak menolak sekiranya kelak berimamkan lelaki berstatus suami orang!
Dia sanggup menjadi isteri kedua, namun bertegas poligami harus berlangsung harmoni, adil dan tanpa pergaduhan.
“Isu jodoh sebenarnya kompleks.
“Saya memang mahukan lelaki bertanggungjawab dan beriman tapi mana tahu kalau saya jatuh cinta dengan suami orang? Tapi selagi boleh elak, kita kena elak.
“Kalau saya berjodohan dengan suami orang pun, biarlah bersyarat.
“Contohnya, saya kena baik dengan isteri pertama dia. Kena ada keharmonian dalam poligami dan persetujuan semua pihak.
“Saya memang tidak menolak sekiranya jodoh saya dengan suami orang tetapi janganlah sampai bergaduh sana sini.
“Sebenarnya ada ramai sahaja orang yang bahagia berkongsi,” dedahnya eksklusif kepada Pose.
Seksi, salah sendiri
Seperkara lagi, seperti sudah dapat menebak bahawa impian bersuamikan lelaki beriman tidak selari dengan penampilan, Nadia berterima kasih kepada netizen yang sentiasa mengambil berat tentang dirinya.
Bukan masuk telinga kanan keluar telinga kiri, dia sebaliknya sedaya upaya istiqamah memperbaiki diri dalam berpakaian.

“Saya berterima kasih kepada semua yang menegur, saya terima dengan hati yang terbuka dan akan perbaiki diri secara perlahan-lahan.
“Saya pun tak mahu dikenali sebab isu seksi sahaja, biarlah bakat dan pakej yang saya bawa dalam industri ini lebih ke depan berbanding benda-benda yang tidak sepatutnya.
“Mahu cakap banyak pun tak guna. Pada akhirnya, isu seksi ini memang salah saya sendiri dalam berpakaian. Tidak mengapa, yang penting saya akan ubah perkara itu perlahan-lahan,” tuturnya serius.
Paling penting kata Nadia, tiada apa yang mahu dikejarkan selain ketenangan dalam kehidupan.
“Dalam keadaan sekarang, ketenangan sangat penting, itu yang saya kejar. Kena kecilkan ‘circle’ kawan, sentiasa berfikir positif dan bersangka baik dengan semua orang.
“Dengan segala isu yang berlaku di Palestin, semua menyedarkan saya tentang banyak benda perkara. Kena sensitif dan tidak pentingkan diri sendiri.
“Semua itu membuatkan saya berfikir banyak benda tentang diri dan orang sekeliling,” katanya.
Enggan terlalu mendap dalam topik jodoh dan seksi, penulis sempat bertanyakan aktivitinya sepanjang Ramadan.
Balik Kelantan
Menggulung senyuman sebelum menyambung bicara, Nadia tidak menyembunyikan rasa teruja apabila dapat menyambut puasa bersama nenek tercinta di Kelantan yang sememangnya menjadi kenangan manis setiap kali tibanya Ramadan.
“Kali ini saya memang gembira sebab ada masa terluang balik Kelantan ke rumah nenek saya. Tahun lalu sibuk dengan kerja, syukur dapat balik dan solat tarawih dengan kesayangan saya kali ini.
“Kalau balik Kelantan, makanan semuanya sedap. Nenek saya pun banyak memasak, itulah nikmat yang saya nantikan setiap tahun, macam kenangan manis setiap kali puasa.
“Saya memang jenis bersederhana, berbuka pun makan makanan yang nak makan sahaja, jangan terlalu ikut nafsu dan perut nak makan semua benda,” ujarnya menutup bicara.
Pesan wanita bermata bundar itu kepada khalayak, elakkan melakukan pembaziran di bulan Ramadan dan sentiasa beramal baik seperti bersedekah seiring menjaga tutur kata.














