fbpx

Lima lelaki lepas, bebas bunuh wanita warga emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah seorang daripada lima tertuduh (baju putih) memeluk ahli keluarganya selepas dilepas dan dibebaskan atas petuduhan membunuh seorang wanita warga emas. Foto oleh Iskandar Shah Mohamed/Kosmo!

SHAH ALAM – Lima lelaki dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita warga emas dan mencederakan cucu lelaki wanita itu dalam kejadian sebuah rumah di Sabak Bernam, lima tahun lalu.

Mereka ialah A. Sri Mahavishnu, 42 S. Kannadasan, E. Venthaan, T. Devaraju dan K. Vikkines Varan yang masing-masing berusia 33 tahun.

Hakim Nurulhuda Nur’Aini Mohamad Nor membuat keputusan itu, selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah diakhir kes pembelaan.

Menurut hakim itu keputusan dibuat selepas mahkamah meneliti segala nota keterangan, hujahan kedua-dua pihak.

“Dalam kes ini, isu utama adalah berkaitan identiti. Pihak pembelaan mengemukakan notis alibi dan saksi mereka. Selepas mengambil kira kes (keterangan) kedua-dua pihak, mahkamah mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah. Justeru mahkamah melepas dan membebaskan kesemua tertuduh,” kata hakim itu.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama membunuh P. Runkanaikey, 78, di sebuah rumah di Kampung Tebuk Pulai, Sabak Bernam antara pukul 3.30 pagi hingga 4.30 pagi pada 12 Ogos 2019.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan gantung smpai mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Selain pertuduhan membunuh, kesemua tertuduh juga didakwa mencederakan N. Silamparasan, 27, dengan cara menetak di tangan, bahu dan kaki pada tarikh dan lokasi sama yang didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seskyen itu memperuntukan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu.

Semasa prosiding, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammed Heikal Ismail manakala tertuduh-tertuduh masing-masing diwakili peguam Zaleha Al-Hayat, GS Gabriel dan Dinesh Muthal.

Sepanjang perbicaraan yang bermula 15 November 2021 seramai 14 saksi pendakwaan dan 12 saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan.

Sejurus selepas prosiding, ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali ketika ditemui berkata, dia sekeluarga amat sedih dengan keputusan berkenaan selain berharap pihak pendakwaan akan mengemukakan rayuan.

“Saya mengikuti kes ini di mahkamah sejak awal dan berharap ada keputusan yang munasabah. Namun, saya sedih kelima-lima lelaki itu dibebaskan sedangkan ibu sudah lima tahun tiada akibat dibunuh,” kata wanita berusia 50-an itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI