fbpx

Wakaf ASNB agih bantuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Basri (dua dari kiri) bersama Rahmad (tiga dari kiri) pada majlis penyampaian Kit Syawal kepada penerima daripada golongan B40 di Masjid As-Salimin, Kampung Kandang, Melaka kelmarin.

MELAKA – Amanah Saham Nasio­nal Berhad (ASNB) menganjurkan program Seikhlas Wakaf Seindah Ramadan yang dilaksanakan di 32 lokasi di seluruh negara sebagai inisiatif membantu golongan sasar membuat persediaan menyambut Aidilfitri.

Ketua Pengurusan Shariah Permodalan Nasional Berhad (PNB) merangkap Ahli Jawatankuasa Pengagihan Wakaf Bersama ASNB-MAIWP, Dr. Ahmad Basri Ibrahim berkata, sumbangan ini adalah hasil daripada dana manfaat Wakaf ASNB yang disalurkan kepada 760 pene­rima yang terdiri daripada anak-anak yatim dan golongan B40.

Katanya, program ini dianjurkan bagi meringankan beban golongan sasar tersebut menyambut Ra­madan dan persiapan Aidilfitri selain melengkapkan keperluan persekolahan anak-anak yatim, yang juga sejajar dengan matlamat PNB, untuk mengukuh kedudukan kewangan rakyat, merentas generasi.

Kit Syawal yang diagihkan itu terdiri daripada pelbagai barangan keperluan menyambut Aidilfitri seperti beras, gula, minyak masak dan ketupat segera serta kelengkapan persekolahan berupa beg dan alatan persekolahan baharu.

“Kami berharap sumbangan ini sedikit sebanyak membantu me­ringankan beban penerima sasaran membuat persediaan menyambut Aidilfitri nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program yang dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman tersebut di Masjid As-Salimin, Kampung Kandang di sini Sabtu lalu.

Mengulas lanjut Ahmad Basri berkata, Wakaf ASNB telah melaksanakan pelbagai projek wakaf yang memberi manfaat kepada komuniti termasuklah penajaan kos rawatan dan pemberian biasiswa kepada pelajar daripada golongan kurang berkemampuan.

“Selain itu, kami turut melaksanakan sumbangan dalam bentuk pembekalan peralatan kepada institusi kesihatan, pendidikan, rumah kebajikan, masjid dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Kami juga turut membantu memperkasakan ekonomi penduduk kampung dan produkti­viti nelayan menerusi sumbangan kubah pengeringan bersolar.

“Setiap jenis projek wakaf dilaksanakan oleh Wakaf ASNB membantu komuniti dengan cara yang berbeza tetapi kesemuanya bertujuan untuk meningkatkan kualiti kehidupan dan memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

Sementara itu, Rahmad berkata, program wakaf dianjurkan ASNB secara tidak langsung membantu meningkatkan kesedaran dan pemahaman masyarakat mengenai kelebihan berwakaf dan peranan wakaf dalam institusi kemasyarakatan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI