fbpx

Bekas nelayan sembelih isteri, terlepas hukuman mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Seorang bekas nelayan terlepas hukuman mati setelah Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikannya dengan hukuman penjara 33 tahun kerana menyembelih isterinya, 23 tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Zabariah Mohd. Yusof mengetepikan hukuman gantung yang diputuskan terhadap Abdul Razak Dalek, 71, selepas membenarkan permohonan semakannya.

Abdul Razak memfailkan semakan mengikut Seksyen 3(1) Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 untuk mengetepikan hukuman terhadapnya.

Keputusan sebulat suara terhadap bapa dua anak itu turut dicapai oleh Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Pada 4 Jun 2010, satu panel lain Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap lelaki itu kerana membunuh isterinya.

Mahkamah Tinggi Johor Baharu pada 2006 mensabit dan menghukumnya kerana membunuh Rozita Haron, 39, di sebuah rumah di Parit Pecah, Parit Jawa, Muar, Johor pada 3 September 2001.

Panel terdahulu berpuas hati, tiada bukti mencukupi untuk menyimpulkan Abdul Razak telah bertindak dalam keadaan tidak waras kononnya akibat gegaran yang dialami selepas menghentak kepala pada dinding dapur sebelum kejadian tersebut.

Mahkamah ketika itu berpendapat, Abdul Razak dan simati telah berbalas cakap menunjukkan bahawa perayu seorang yang waras dan mahu memujuk isterinya supaya menyelamatkan rumah tangga mereka yang bermasalah selepas wanita itu meninggalkannya pada 2001.

Pada prosiding itu, peguam Datuk Baljit Singh Sidhu memohon anak guamnya diberi peluang kedua untuk menghabiskan sisa-sisa hidup dengan dua anaknya.

Peguam itu memohon hukuman penjara 33 tahun kerana anak guamnya sudah menjalani hukuman penjara selama 22 tahun enam bulan.

Sementara itu, Baljit memberitahu pihak media, Abdul Razak dibebaskan hari ini selepas mengambil kira diskaun satu per tiga daripada keseluruhan tempoh pemenjaraan yang telah dijalani.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Aznee Salmi Ahmad memohon hukuman mati dikekalkan namun turut mencadangkan hukuman penjara di antara 35 tahun dan 40 tahun.

Ujar beliau, peristiwa itu melibatkan pembunuhan tragis yang mana pemohon menikam bahagian leher isterinya dengan pisau sehingga arteri terpotong. Mereka telah berkahwin selama 21 tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI