fbpx

Pearly-Thinaah tidak ke Piala Uber

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEARLY (kiri) dan Thinaah diberikan ruang melakukan persediaan sebaiknya bagi menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024.

BEREGU wanita No.1 negara, Pearly Tan-M.Thinaah berkemungkinan besar tidak disenaraikan dalam skuad badminton wanita kebangsaan bagi menggalas cabaran pada saingan Piala Uber di Chengdu, China yang bermula 28 April hingga 5 Mei depan.

Keadaan tersebut disebabkan barisan kejurulatihan negara mahu memberikan masa secukupnya buat bekas juara Terbuka Perancis itu melakukan persiapan rapi bagi menghadapi temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menjelaskan, sekiranya keputusan itu dibuat, ia adalah disebabkan pihak kejurulatihan sudah melakukan pertimbangan sewajarnya selain mengambil kira peluang Malaysia dalam kejohanan tersebut.

“Untuk pasukan wanita dalam saingan Piala Uber, Pearly-Thinaah mungkin tidak dibawa dan masa tersebut boleh digunakan untuk mereka melakukan persiapan bagi menghadapi temasya Sukan Olimpik nanti.

“Bukan mahu merendahkan peluang kita dalam Piala Uber, tetapi kita perlu realistik. Kalau mereka pergi dan sumbang satu mata, kita mungkin akan catat keputusan berterusan (kalah) 1-4,” katanya ketika ditemui ABM, Bukit Kiara semalam.

Malaysia dijangka berdepan laluan berliku pada Piala Uber nanti apabila diundi dalam Kumpulan B bersama Thailand, Taiwan dan Australia, sekali gus menjadikan cadangan untuk mengenepikan Pearly-Thinaah dilihat wajar.

Mengulas mengenai pendapat yang mengatakan Piala Uber mampu menjadi aksi pemanas badan terbaik buat pasangan No.13 dunia itu, Rexy menegaskan, masih banyak kejohanan lain yang mampu menjadi medan untuk Pearly-Thinaah melakukan persiapan.

“Masih ada kejohanan-kejohanan lain seperti BAC (Kejohanan Badminton Asia), Malaysia Masters, Terbuka Singapura dan Terbuka Indonesia, melainkan Piala Uber itu adalah kejohanan terakhir sebelum Olimpik.

“Lebih baik gunakan tempoh seminggu itu untuk buat persiapan (Olimpik). Sama ada mereka akan kekal di sini atau mengikut pasukan ke sana (Uber), itu akan diputuskan dalam mesyuarat nanti,” ujar legenda badminton Indonesia itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI