fbpx

Saya tak campur siasatan, serah kepada KPN, PDRM – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (tengah) pada Sambutan Peringatan Hari Polis ke-217 Tahun 2024 di Pusat Latihan Polis, Kuala Lumpur hari ini. - Foto oleh AMIR KHALID / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, beliau memberi laluan sepenuhnya kepada Ketua Polis Negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung siasatan berkaitan isu perkauman dan keagamaan, bahkan tidak sesekali mencampuri urusan tersebut.

Beliau berkata, bagaimanapun beliau sentiasa menggesa supaya tiada tolak ansur terhadap isu tersebut, malah tindakan tegas dijalankan mengikut undang-undang yang ditetapkan.

“Saya beri laluan penuh dan Tan Sri Raza (Ketua Polis Negara) tahu sikap saya. Saya tak campur urusan siasatan, tapi sentiasa gesa jangan bertolak ansur, bertindak tegas untuk menentukan jangan berlaku (tindakan) luar jalur hukum.

“Islam sendiri sebut kita ini pendakwah, bukan penghukum. Yang akan hukum itu kadi atau hakim ikut jalur hukum, kaedah undang-undang dan fakta dimaklumkan oleh yang arif hakim,” katanya berucap pada Sambutan Peringatan Hari Polis ke-217 Tahun 2024 di Pusat Latihan Polis di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Dalam pada itu, Anwar turut memberi peringatan kepada mana-mana pihak termasuk parti politik untuk tidak bertindak sesuka hati sekali gus mematuhi undang-undang yang termaktub.

“Peringatan cukup jelas, ada masalah, ada laporan, ada siasatan, ada pendakwaan dan ada jalur hukum melalui badan kehakiman. Bukan bertindak cara gerombolan.

“Saya harap hal ini difahami, saya tak peduli dan tak kira orang itu daripada parti politik, masyarakat sivil, tokoh-tokoh besar dan kecil. Kalau negara ini tak tunduk pada hukum, negara akan rosak dan tak berkembang,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI