SUNGAI PETANI – Kira-kira 2,000 penduduk Taman Bandar Baru Fasa 4 di Sungai Lalang di sini, tertekan apabila masalah bekalan air yang membelenggu mereka sejak tiga tahun lalu menjadi semakin teruk.
Keadaan itu menyebabkan sebahagian penduduk mengadakan demonstrasi aman merayu masalah tersebut diselesaikan segera.
Seorang penduduk, K. Manomany, 60, berkata, lebih 500 rumah di situ mengalami masalah bekalan air dan menyebabkan aktiviti harian penduduk terganggu.
“Tiga tahun lalu air masih boleh ditadah pada awal malam berbanding sekarang apabila bekalan air hanya boleh diperoleh antara pukul 3 pagi hingga pukul 5 pagi sahaja.
“Bayangkan kami terpaksa berjaga hanya untuk mendapatkan air, sedangkan esoknya perlu bekerja pula,” katanya yang merupakan seorang peniaga kedai bunga.
Pekerja kilang, M. Vani, 42, berkata, dia mempunyai empat ahli keluarga dan memerlukan air yang banyak untuk mandi, membasuh pakaian dan memasak.
“Selepas beberapa kali aduan dibuat, baru pihak SADA hantar air menggunakan lori ke kawasan perumahan kami tetapi masalahnya catuan dikenakan dengan mengehadkan sebanyak dua tong sahaja untuk setiap rumah.
“Sudah pasti air yang dibekalkan itu tidak mencukupi terutama bagi keluarga besar seperti saya sehingga memaksa kami mengangkut air dari rumah keluarga di luar daerah untuk kegunaan seharian,” ujarnya.
Seorang lagi penduduk, R. Ganeson, 50, yang bekerja sebagai operator kilang berkata, di terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tambahan seperti membeli air minuman dan menghantar pakaian ke dobi.
“Masalah air ini sudah lama, saya sudah letih untuk hadapi masalah bekalan air ini. Mohon sangat pihak Syarikat Air Darul Aman dapat berbuat sesuatu bagi memastikan bekalan air pulih, selain kerap menghantar bekalan air ke setiap rumah di sini,” jelasnya.














