fbpx

Penuntut UniMAP maut MPV rempuh tiang lampu, pokok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Proton Exora dinaiki mangsa remuk selepas merempuh tiang lampu dan pokok di Jalan Changlun-Kuala Perlis di Arau, malam tadi.

ARAU – Seorang penuntut Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora yang dinaiki terbabas lalu melanggar tiang lampu dan pokok berdekatan jejantas Pauh, Jalan Changlun-Kuala Perlis, di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, wanita berusia 22 tahun terbabit meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu MPV tersebut yang merupakan penuntut lelaki dari universiti sama cedera parah.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika MPV berkenaan dipercayai dari arah Changlun menghala ke Kuala Perlis.

“Kenderaan tersebut dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh berhampiran jejambat Pauh sebelum terbabas ke kiri jalan.

“Keadaan itu menyebabkan MPV berkenaan merempuh tiang lampu serta pokok di bahu kiri jalan sebelum berpusing ke tengah jalan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, kemalangan mengakibatkan penumpang wanita berasal dari Taman Aman Jaya di Lahad Datu, Sabah meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu dari Kampung Bukit Kemubu, Bandar Permaisuri di Terengganu mengalami cedera parah.

“Jenazah mangsa dihantar untuk menjalani bedah siasat di Hospital Tuanku Fauziah di Kangar,” ujarnya.

Tambahnya, kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu yang gagal mengawal kenderaan dan telah terbabas sendiri ke bahu kiri jalan dengan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Difahamkan, kedua-dua pelajar terbabit dalam perjalanan pulang ke kolej kediaman di Simpang Empat, dekat sini selepas menghadiri satu majlis bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir di kampus induk UniMAP Pauh Putra, di sini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI