MEDIA sosial merupakan medium utama kepada semua lapisan masyarakat untuk membuat carian maklumat sama ada hal ehwal negara, dunia, politik atau hiburan.
Kepadatan maklumat di media sosial ketika ini menjadikan pengguna sukar untuk memilih bahan bacaan yang mereka minati apabila pelbagai kandungan dilihat terarah dan muncul secara terus kepada mereka.
Segala maklumat yang dahulunya hanya diperoleh menerusi media arus perdana, tetapi kini semua itu boleh didapati di hujung jari tanpa sebarang kekangan.
Semua pengguna sosial ketika ini dilihat lebih terarah dan seolah-olah dibawa kepada satu isu atau perkara yang paling kerap diperkatakan sehingga tular dan menjadi buah mulut ramai.
Meskipun ada isu itu dianggap tidak penting bagi sesetengah individu, mereka turut terjebak untuk mengetahuinya sekali gus mengkaji maklumat tertentu kerana dilihat tidak mahu ketinggalan untuk menyertai ‘bandwagon’ atau perkara yang sedang popular.
Pengguna media sosial tegar akan lebih tertumpu kepada maklumat sama ada berita atau video tular sekali gus menjadikan kita berada dalam spektrum yang sama.
Lebih teruk, penyebaran maklumat yang kurang tepat di media sosial menjadikan kita berada dalam memori palsu dikenali kesan Mandela (Mandela effect) iaitu fenomena mengingati sesuatu yang tidak berlaku atau mengingatinya secara berbeza daripada cara sebenarnya ia berlaku.
Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Media, Universiti Teknologi Mara, Dr. Aziz Azizam berkata, pengguna media sosial perlu bertanggungjawab dalam mengurus setiap maklumat yang diterima dan menilai implikasi sesuatu kandungan itu.
Menurutnya, jika sesuatu perkara itu dinilai secara kurang tepat, ia akan menimbulkan pelbagai masalah yang berkait apabila sesetengah isu sepatutnya diselesaikan atau dibatalkan pada peringkat awal.
“Mengambil contoh, isu stoking kalimah Allah dan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang berlaku sebelum ini.
“Ia menunjukkan penyebaran interaksi sosial negatif dalam kalangan pengguna sosial yang mengulas isu tersebut.
“Perlu diingatkan media sosial juga merupakan satu bentuk komunikasi yang kekal. Apabila sesuatu perkara itu tular dan dan direkodkan, maka ia akan muncul lagi
pada masa hadpaan,” katanya kepada Kosmo!.
Aziz memberitahu, sehubungan itu, akan ada implikasi negatif sekiranya sesuatu isu yang tular tersebut berlaku secara berterusan.
Jelasnya, kegagalan orang ramai untuk menilai kesan sesuatu perkara atau isu yang tular sudah pasti akan memberikan impak yang berat kepada masyarakat.
“Berdasarkan kajian, terdapat dua faktor utama yang berkait rapat dengan penyebaran video atau kandungan yang tular.
“Yang pertama adalah tindak balas psikologi yang memberi kesan kepada perasaan individu.
“Faktor kedua penyebaran kandungan sehingga tular akan memberi kesan kepada motivasi sosial iaitu tanggapan sesetengah pihak sekiranya berlaku isu yang hampir sama kepada mereka,” ujarnya.
Secara umumnya, sesuatu isu itu menjadi tular kerana ia mempunyai faktor gabungan secara serentak antaranya lawak, realiti dan sensitif.
“Kandungan tersebut dilihat mampu mewujudkan tindak balas psikologi khalayak dan motivasi sosial untuk memberi reaksi atau respons kepada sesetengah perkara,” ujar beliau.
Sehubungan itu, kata beliau, pengguna media sosial di negara ini perlu bijak mengurus segala maklumat yang diterima bagi mengelakkan sebarang kesilapan dalam menyebarkan maklumat di dunia nyata.














