fbpx

RCB lahirkan jutawan luar bandar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HIRUDIN (dua dari kiri) pada majlis penyerahan moque cek kepada salah seorang penerima dana SPED (kanan) dalam satu majlis yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Rural Capital Berhad (RCB) mengunjurkan untuk mengagihkan dana daripada Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) antara RM20 juta hingga RM25 juta kepada hampir 200 usahawan di luar bandar pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hiruddin Hashim berkata, sehingga kini, 50 usahawan telah mendapat manfaat daripada dana tersebut dengan nilai pembiayaan sebanyak RM6 juta.

Menurut beliau, dana yang diperoleh daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah itu telah diagihkan kepada 150 usahawan daripada pelbagai bidang pada tahun lalu dengan jumlah dana yang diagihkan bernilai RM19 juta.

“Mereka yang memohon datang daripada pelbagai bidang perniagaan di luar bandar seperti menguruskan restoran, daging salai, bengkel kenderaan, butik dan juga kosmetik.

“Tetapi dana ini tidak diagihkan kepada mereka yang terlibat dalam bidang pembinaan dan juga pertanian,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Menara Mara baru-baru ini.

RCB adalah anak syarikat Mara Corporation juga terlibat dalam bidang pengurusan pembiayaan telah memulakan segmen penyediaan dana berlandaskan syariah sejak tahun lepas.

Menurut Hiruddin, sambutan yang diterima daripada kumpulan sasaran adalah menggalakkan dan bersandarkan kepada perkembangan semasa, usahawan yang mendapat dana dan bimbingan daripada RCB kini semakin mengembangkan perniagaan masing-masing.

Sehubungan itu, beliau telah menyimpan misi untuk melihat beberapa usahawan di bawah bimbingan RCB bakal bergelar jutawan pada masa depan.

Selain itu, beliau yang memiliki pengalaman yang luas dalam bidang perbankan dan kewangan di beberapa syarikat korporat dan bank itu berkata, selain kadar faedahnya yang rendah, SPED turut memiliki kelebihan dan keunikan yang ditawarkan kepada pelanggannya.

“Kami tawarkan moratorium selama enam bulan dan pada bulan ketujuh pelanggan itu barulah mula membayar pinjaman penuh masing-masing.

“Dalam tempoh moratorium itu, mereka cuma perlu membayar nilai keuntungan daripada pinjaman tersebut.

“Sebagai contoh jumlah bayaran pinjaman adalah RM1200 sebulan dan daripada nilai tersebut, RM200 adalah bayaran keuntungan maka dia hanya perlu bayar RM200 selama enam bulan.

“Kemudian pada bulan ke tujuh, dia perlu membayar penuh sebanyak RM1200 sebulan sehingga selesai bayaran pinjaman.

“Lebih menarik, sekiranya pinjaman seorang usahawan itu berjumlah RM100,000 untuk bayaran selama lima tahun dan jika dia seorang pembayar tegar hutang SPED sepanjang tiga tahun pertama tanpa sebarang tunggakan, maka kami juga akan menawarkan rebat sehingga 30 peratus.

“Ini bermakna pinjaman yang hanya perlu dibayar adalah kira-kira RM70,000 sahaja.

“Ini adalah kelainan kami dalam membantu usahawan berjaya dalam bidang perniagaan masing-masing selain menjadi inspirasi serta semangat kepada mereka agar komited melunaskan tanggung jawab terhadap
pinjaman,” jelasnya.

Hirudin berkata, sehingga kini semua pelanggannya komited dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah mereka.

Selain itu, Hiruddin menerangkan, RCB juga aktif membimbing dan melatih pelanggannya agar terus berdaya saing termasuk meningkatkan pengetahuan mereka dalam bidang digitalisasi selain mengukuhkan sistem pengurusan perniagaan agar lebih bersistematik dan profesional.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI